MCDONALD’S jangka proses inisiatif EOTF di cawangan restoran capai 65% hujung tahun ini.
MCDONALD’S jangka proses inisiatif EOTF di cawangan restoran capai 65% hujung tahun ini.
Sofyan Rizal Ishak


PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia menjangkakan proses penstrukturan semula restoran sedia adanya kepada cawangan yang menawarkan inisiatif Experience of the Future (EOTF) bakal mencapai tahap 65 peratus menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Azmir Jaafar berkata, EOTF adalah inisiatif memodenkan pengalaman pelanggan di restoran dan ia model perkhidmatan makanan terbaharu syarikat yang membabitkan ciri-ciri dan konsep khidmat pelanggan inovatif.

Menurutnya, antara ciri dan konsep itu adalah perkhidmatan meja yang membolehkan pelanggan membuat pesanan makanan di kaunter hadapan atau skrin pesanan dan seterusnya memilih untuk makanan terbabit dihidangkan ke meja oleh Guest Experience Leader (GEL) McDonald’s.

“Sejak Lionhorn Pte Ltd dari Arab Saudi menjadi Pemegang Lesen Pembangunan (DL) selepas membeli hak McDonald’s Malaysia dan Singapura pada 2016 maka kami mengubah suai 64 restoran sedia ada berdasarkan model EOTF,” katanya pada majlis taklimat perniagaaan McDonald’s Malaysia di sini.

Beliau berkata, ciri dan konsep pelanggan inovatif lain ditawarkan di bawah EOTF seperti Kios Pesan Sendiri (SOK) yang membolehkan pelanggan membuat pesanan sendiri dan menyesuaikan hidangan mengikut keinginan masing-masing.

“Selain itu, terdapat perkhidmatan dwi kaunter yang membolehkan pelanggan membuat pesanan melalui SOK atau kaunter hadapan dan seterusnya mengambil pesanan mereka di kaunter apabila nombor pesanan dipaparkan di skrin,” katanya.

Sementara itu, platform penghantaran dan digital McDonald’s dijangka bakal menjadi pemacu pertumbuhan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Azmir berkata, perkhidmatan penghantaran mereka adalah kunci utama bagi perkembangan perniagaan McDonald’s Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:01 AM