Zalman (kiri) bersama Ketua Pengurusan Jenama CELCOM Axiata Berhad, Bernard Ho Swee Keong menunjukkan  replika kad SIM Celcom First Basic dan First Elite pada majlis pelancaran di G Tower, Jalan Tun Razak.
Zalman (kiri) bersama Ketua Pengurusan Jenama CELCOM Axiata Berhad, Bernard Ho Swee Keong menunjukkan replika kad SIM Celcom First Basic dan First Elite pada majlis pelancaran di G Tower, Jalan Tun Razak.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) memperkenalkan dua pelan pasca bayar Internet dan panggilan terbaru dikenali First Basic serta First Elite bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan ke tahap lebih tinggi dan membolehkan mereka menikmati layanan eksklusif melalui tawaran pelan terbabit.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, pelan itu diperkenalkan khusus bagi individu yang mencari keselesaan, kemewahan, keistimewaan dan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan di seluruh negara.

“Kami yakin jenama First ini akan mewujudkan pengalaman lebih baik kepada pelanggan memandangkan ia menawarkan ciri-ciri terbaik termasuk Optimiser,” katanya pada majlis pelancaran dua pelan terbabit di sini, semalam.

First Basic ditawarkan pada harga RM85 sebulan yang membolehkan pelanggan menikmati panggilan sebanyak 250 minit dan 250 sistem pesanan ringkas (SMS) serta penggunaan data sebanyak dua gigabait (2GB) dan 2GB WiFi.

First Elite pula ditawarkan pada harga RM235 sebulan merangkumi panggilan sebanyak 200 minit, 200 SMS, dan Internet 3GB dengan pelanggan pelan ini berpeluang menikmati layanan eksklusif di rangkaian pusat perkhidmatan pelanggan Celcom, akses kepada Lounge dan diberi keutamaan dalam setiap acara anjuran Celcom.

“Apa paling menarik, kedua-dua pelan ini akan turut dilengkapi dengan ciri Optimiser yang menyediakan penggunaan data dan panggilan tambahan percuma secara automatik berdasarkan trend penggunaan bulanan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, Celcom yakin pengenalan pelan itu akan membantu pihaknya untuk meningkatkan jumlah pelanggan baru kepada 50 peratus kerana ia adalah pelan pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini.

“Pada kali ini, produk kami memiliki ciri-ciri terkini dan berbeza daripada pelan syarikat telekomunikasi lain dan saya yakin produk ini mampu menarik lebih banyak pelanggan baru berbanding pelan terdahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 10:53 AM