SISTEM Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai Mcdonalds.
SISTEM Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai Mcdonalds.
SISTEM Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai Mcdonalds.
SISTEM Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai Mcdonalds.
HM Digital

McDonald’s Malaysia melaksanakah langkah lebih ketat untuk melindungi pelanggan dan warga kerjanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bermula 27 Mac lalu, semua rangkaian restoran McDonald’s menggunakan sistem Tanpa Sentuh dan Tanpa Tunai untuk perkhidmatan McDelivery.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya mengambil langkah tambahan untuk perkhidmatan penghantaran makanan bagi memastikan keselamatan pelanggan dan penghantar makanan.

“Penghantar makanan dikehendaki memakai penutup muka dan sarung tangan sebelum memasuki premis McDonald’s dan dikehendaki melakukan sanitasi tangan.

“Mereka perlu menjalani pemeriksaan suhu badan di luar restoran setiap hari. Malah, seorang kru ditugaskan melakukan proses sanitasi dan membersihkan beg penghantaran bagi setiap seorang penghantar makanan sebelum memasukkan makanan dalam beg masing-masin,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menyediakan tempat pengambilan makanan berasingan bagi penghantar makanan perkhidmatan McDelivery (MDS) dan penghantar makanan Grab Food dan Foodpanda di restoran McDonald’s.

“Pelanggan juga tidak perlu bimbang kerana penghantar makanan akan menghubungi pelanggan sebaik saja mereka tiba di lokasi penghantaran dan meletak pesanan di tempat selamat yang dipersetujui.

“Mereka juga berdiri sekurang-kurangnya satu meter dari pelanggan untuk meminimumkan sentuhan.

“Malah, hanya bayaran tanpa tunai diterima untuk pesanan melalui perkhidmatan McDelivery,” katanya.

Menurutnya, walaupun ruang makan di restoran McDonald’s ditutup sepanjang tempoh PKP, kebanyakan restoran di seluruh negara dibuka untuk pesanan bungkus dan pandu-lalu.

“Di restoran, kami pastikan standard keselamatan dan kebersihan makanan yang tinggi dipatuhi.

“Ia termasuklah pembersihan menyeluruh dilakukan pengurus dan empat kru selepas restoran ditutup,” katanya.

“Ini meliputi setiap ruang di restoran seperti dapur, laluan Pandu-Lalu, ruang makan dan ruang penyimpanan.

“Semua kru juga dikehendaki memakai penutup muka dan sarung tangan termasuk kru yang ditugaskan memeriksa suhu badan pelanggan dan penghantar makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 8:03 AM