Kuala Lumpur: Deloitte Touche Tohmatsu Limited (DTTL) dengan kerjasama STORES Media menjangkakan lima segmen peruncitan akan menjadi tumpuan sepanjang 2015.

Ketua Sektor Global, Peruncitan DTTL Vicky Eng berkata, laporan berkenaan tahun ini menyaksikan lima segmen peruncitan mendapat tumpuan iaitu peruncitan kembara, peruncitan mudah alih, peruncitan pantas, peruncitan pengalaman dan peruncitan inovatif.

“Sektor peruncitan akan menerima perubahan besar tahun ini dengan kepantasan inovasi serta peningkatan permintaan pengguna.

“Untuk bergerak seiring dengan perubahan ini, peniaga perlu bertindak pantas melalui pelaksanaan inovasi yang dihasilkan melalui data pasaran,” katanya.

Menurutnya, peniaga di Asia Tenggara khususnya perlu memantau dengan rapi trend perniagaan dalam talian terutama dengan peningkatan penggunaan peranti mudah alih.

Dalam kajian terbaru yang dijalankan, ia mendapati pengguna di Asia Tenggara menerima pembayaran mudah alih ketika berada di butik fizikal berbanding pengguna di negara maju yang masih memilih pembayaran secara tradisional.

“Teknologi seperti rak pintar, WiFi, sistem POS dan kedai virtual adalah antara ciri-ciri yang diperlukan untuk memikat pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, peruncitan kembara dijangka terus mencatatkan peningkatan khususnya dengan pertambahan golongan pertengahan. Pada tahun ini, peruncit menjangkakan peningkatan pelancong yang mampu berbelanja besar.

Peruncitan mudah alih pula dijangka meningkat secara agresif di mana kira-kira 65 peratus daripada populasi dunia akan menggunakan telefon pintar dan 83 peratus pengguna Internet menggunakannya daripada peranti mudah alih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 5:38 AM