GAMBAR kenangan Phil Paxson (dua dari kiri) bersama isteri dan anak perempuannya. FOTO Agensi.
GAMBAR kenangan Phil Paxson (dua dari kiri) bersama isteri dan anak perempuannya. FOTO Agensi.
Agensi

Washington: Seorang lelaki di Carolina Utara, Amerika Syarikat maut selepas aplikasi pengesanan kedudukan global (GPS) yang digunakan membawanya ke laluan jambatan yang sudah hanyut sejak sembilan tahun lalu.

Phil Paxson menggunakan bantuan aplikasi itu pada 30 September untuk memandu pulang ke rumah selepas menghadiri majlis di Hickory, Carolina Utara apabila GPS menunjukkan laluan berjambatan yang sudah tidak lagi digunakan.

Akibatnya, kereta dipandu lelaki itu menjunam ke dalam sungai.

Sebelum kejadian berkenaan, Paxson baru sahaja menyambut hari ulang tahun kesembilan anak perempuannya.

Polis Lebuh Raya Carolina Utara berkata, kenderaan bapa dua anak itu ditemui dengan sebahagiannya sudah tenggelam.

Dilaporkan, tanda amaran dan penghadang yang diletakkan di jalan itu sebelum ini dialihkan pihak tidak bertanggungjawab, yang mendorong kemalangan itu.

"Mangsa mengikut laluan yang ditunjukkan GPS terbabit sehingga kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai," kata Linda McPhoee, ibu mentua Paxson menerusi Facebook, yang dilapor 7news.

Katanya, jambatan itu sudah rosak sejak sembilan tahun lalu dan tidak dibaiki sehingga kini.

Polis memaklumkan, jambatan itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan tempatan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 10:53 AM