FOTO kenangan Eng bersama ibunya, Chin. FOTO Instagram
FOTO kenangan Eng bersama ibunya, Chin. FOTO Instagram
Agensi

New York: Seorang lelaki di Tribeca di sini, mengakui dia memukul dan menetak leher ibunya dengan kejam untuk mendapatkan harta pusaka.

New York Post melaporkan, Jared Eng, 25, mengaku bersalah di Mahkamah Agung Manhattan atas pertuduhan pembunuhan kejam itu terhadap mangsa, Paula Chin, 65, pada Januari 2019.

Eng dengan kejam memukul dan menetak ibunya di sebuah apartment di Tribeca.

Ibu lelaki itu didakwa mempunyai simpanan di bank sebanyak AS$11 juta (kira-kira RM49.9 juta).

Selepas pembunuhan mengerikan yang terjadi sebab Eng mahu mempercepatkan warisan pusaka itu, lelaki berkenaan membersihkan apartmen lokasi kejadian bersama teman wanitanya Jennifer Lopez.

Pasangan itu kemudian mengangkut jenazah ibunya dengan kereta Chin sendiri, Toyota Land Cruiser 2004, ke rumah keluarga di Morristown, New Jersey.

Kekasih Eng yang lain, Caitlyn O'Rourke, menyertai pasangan itu di New Jersey pada 1 Februari berikutnya, di mana dia membantu memasukkan mayat Chin ke dalam tong sampah.

Abang Eng, Brandon, melaporkan ibu mereka hilang dan polis menemui mayatnya yang reput di dalam tong sampah pada keesokan harinya.

Penyiasat menemui sarung tangan getah berdarah di dalam tong sampah dan kesan darah di lantai garaj kediaman di New Jersey.

Lebih banyak sarung tangan berdarah, bersama dengan kesan darah, ditemukan di dalam apartmen di Tribeca.

Dalam satu siri mesej teks selepas pembunuhan itu, Eng melaporkan: "Sudah selesai, saya bebas, saya sudah menyingkirkan masalah", menurut pendakwa raya.

Dia kemudian mula menukar kata laluan pada akaun bank Chin, mencari peguam warisan dan menyelidik cara untuk melupuskan mayat ibunya.

"Ini adalah pembunuhan kejam dan mengejutkan... mangsa ibu defendan sendiri, dan walaupun tiada apa yang boleh menghentikan tragedi sudah berlaku ini, pengakuan bersalah hari ini mewakili langkah penting ke arah keadilan," kata Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg dalam satu kenyataan.

Lopez dan O'Rourke didakwa dengan tuduhan jenayah yang lebih rendah, termasuk menyembunyikan mayat manusia.

Kes mereka masih belum selesai.

Peguam Eng tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.

Eng dijangka menerima hukuman penjara sekurang-kurangnya 18 tahun, dan ia akan diputuskan mahkamah pada pada 18 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 12:32 PM