JURUTERBANG Poland mencipta sejarah apabila berjaya mendaratkan pesawat di helipad di Hotel Burj Al Arab. FOTO Agensi
JURUTERBANG Poland mencipta sejarah apabila berjaya mendaratkan pesawat di helipad di Hotel Burj Al Arab. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Seorang juruterbang syarikat penerbangan dari Poland mencipta sejarah dan memecahkan rekod apabila berjaya mendaratkan pesawat di helipad di Hotel Burj Al Arab selepas melakukan 650 kali percubaan.

Hotel itu terkenal dalam menganjurkan beberapa acara hebat dengan mencatatkan satu lagi pencapaian apabila juruterbang, Luke Czepiela melakukan pendaratan bullseye yang luar biasa bagi pesawat aksi di atas helipadnya.

Menurut Khaleej Times, juruterbang itu berkata, dia membuat 650 percubaan mendarat, sebelum hari bersejarah itu.

Pada 14 Mac lalu, helipad ikonik itu menyaksikan pesawat pertama berlepas dan mendarat oleh Lukasz Czepiela.

Dia berjaya menyempurnakan pendaratan pesawat di helipad hotel Burj Al Arab yang berdiameter hanya 27 meter.

Dalam video tular yang dikongsi di akaun Instagram rasmi Visit Dubai, Czepiela dilihat menilai keadaan sebelum dia membuat pendaratan yang mengagumkan itu.

Dalam rakaman itu, sebelum bergerak ke arah logo 'H', juruterbang berusia 39 tahun kedengaran berkata, keadaan ketika itu berangin, namun stabil.

Duta Red Bull itu meneruskan pendaratan yang berjaya dengan orang ramai bersorak kuat dalam video itu.

Pejabat Media Dubai turut berkongsi beberapa imej dan video pencapaian ikonik itu di akaun Twitter rasmi mereka.

Jurutera penerbangan Mike Patey hadir memantau keadaan di helipad.

Dalam video itu, dia dilihat berlari ke arah Czepiela untuk memeluk dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Pendaratan itu dicapai tanpa titik rujukan.

Lukasz Czepiela mendaratkan pesawat aksi itu pada ketinggian 212 meter di tingkat 56 hotel Burj Al Arab.

Juruterbang juga mendedahkan untuk mengurangkan berat sebanyak mungkin, sekitar 13 pengubahsuaian khas dibuat pada pesawat untuk mencapai kejayaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 2:18 PM