FOTO hiasan
FOTO hiasan
AFP

Mexico City: Seorang lagi wartawan dilaporkan terbunuh di utara Mexico menjadikan ia kes pembunuhan keenam dilaporkan sepanjang tahun ini membabitkan wartawan di negara berkenaan.

Gabenor Zacatecas, David Monreal mengecam perbuatan berkenaan dan menuntut pihak berkuasa mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab.

"Baik (kes) ini, mahupun jenayah lain, tidak boleh dibiarkan," kongsi Monreal di Twitter miliknya selepas Juan Carlos Muniz, wartawan portal berita Testigo Minero dibunuh.

Katanya, pendakwa raya juga sudah diarahkan untuk mencari pelaku pembunuhan di bandar Fresnillo itu.

Sementara itu, Testigo Minero dalam kenyataannya juga mengecam pembunuhan itu dan menuntut pihak berkuasa mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.

"Pembunuhan pengecut rakan kami mengejutkan sebahagian besar masyarakat Fresnillo dan negeri ini, serta profesion kewartawanan," katanya.

Untuk rekod, pemerhati media Reporters Without Borders (RSF) melaporkan, kira-kira 150 wartawan sudah dibunuh di Mexico sejak 2000 dan hanya sebahagian kecil daripada jenayah berjaya dihadapkan ke mahkamah serta disabitkan kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 10:38 AM