‘KERETA kebal’ yang dimusnahkan FGR.
‘KERETA kebal’ yang dimusnahkan FGR.
Agensi

Mexico City: Sejumlah 23 'kereta kebal' milik kumpulan jenayah terancang yang dirampas antara Mac dan Jun tahun ini dimusnahkan Pejabat Peguam Negara (FGR) Mexico.

FGR mengeluarkan video dan gambar tindakan pemusnahan Ahad lalu di akaun Twitter rasmi mereka tetapi tidak menyebut nama kumpulan penjenayah yang ditangkap selain mengaburkan logo pada kenderaan, menurut Borderland Beat.

Daily Star melaporkan, ada yang percaya ia membabitkan kumpulan jenayah terancang Cartel del Noreste, juga dikenali sebagai Kartel Timur Laut, yang terkenal dengan penyeludupan manusia, dadah, culik, pemerasan dan aktiviti haram lain.

Baru-baru ini, Juan Gerardo Treviño, yang turut dikenali sebagai El Huevo, ketua kumpulan yang ditubuhkan pada 2014 itu ditahan di Nuevo Laredo, di sempadan Amerika Syarikat (AS).

Mengenai rampasan 'kereta kebal' itu, difahamkan ia kenderaan berperisai buatan sendiri yang beroperasi dengan cara sama seperti kereta kebal biasa dalam Perang Dadah Mexico, bertindak sebagai perlindungan boleh alih dalam pertempuran.

Asalnya ialah trak pacuan empat roda besar dan dipasang dengan plat logam, ia memberikan perlindungan dalam pertempurantetapi menurut tentera Mexico, ia tidak boleh bergerak di kawasan bandar atau di tanah lembut dan berpasir.

Kereta kebal itu juga digunakan untuk menimbulkan ketakutan dengan jentera yang diubah suai sering ditunjukkan dalam gambar dan video oleh anggota kartel sekali gus memberikan tamparan kepada mana-mana kumpulan dadah.

Turut dilancarkan adalah video baharu oleh kartel paling berbahaya Mexico, yang mengancam pesaing secara ganas dan bersenjata.

Salah seorang lelaki yang muncul dalam video itu memperkenalkan dirinya sebagai Komander 52 Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG) dan mendedahkan secara langsung langkah menangani musuh mereka di bandar Matías Romero, Oaxaca.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 6:15 AM