ANGGOTA polis persekutuan Mexico berdiri berhampiran mayat anggota kartel dadah yang ditembak mati, kelmarin.
ANGGOTA polis persekutuan Mexico berdiri berhampiran mayat anggota kartel dadah yang ditembak mati, kelmarin.
Reuters

Zamora, Mexico: Polis persekutuan Mexico menembak mati 42 lelaki bersenjata yang dipercayai anggota kartel dadah dalam satu pertempuran di barat Mexico kelmarin.

Pertempuran paling berdarah sepanjang satu dekad itu turut menyebabkan seorang anggota keselamatan terkorban.

Pesuruhjaya Keselamatan Negara, Monte Alejandro Rubido berkata, seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera dalam pertempuran selama tiga jam di sebuah ladang di Guadalajara.

Angka kematian itu adalah yang paling tinggi dicatatkan sejak Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto berkuasa pada Disember 2012.

Beliau sebelum ini berikrar untuk menamatkan keganasan kartel dadah yang mengorbankan lebih 100,000 nyawa sejak 2007.

Pegawai kerajaan melaporkan, 42 yang terbunuh berhampiran bandar Tanhuato disyaki anggota kartel dadah yang dikenali sebagai Generasi Baru Jalisco.

Pertempuran tercetus apabila sekumpulan anggota polis yang menyiasat aduan mengenai aktiviti pencerobohan di ladang seluas 112 hektar itu diserang beberapa lelaki bersenjata.

Selepas meminta bantuan tambahan, pasukan keselamatan persekutuan menggempur kumpulan itu dengan bantuan helikopter.

Pihak berkuasa berjaya menangkap tiga suspek dan merampas pelancar bom tangan serta 39 senjata api.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:12 AM