FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Mexico City: Lima pelajar sekolah menengah dan seorang dewasa terbunuh dalam satu serangan bersenjata di tengah Mexico, kata pihak berkuasa tempatan.

Menurut polis, penembak melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelajar pada malam Isnin.

Ia menyebabkan tiga lelaki dan dua perempuan berusia antara 16 dan 18 tahun, serta seorang wanita berusia 65 tahun yang berada di kawasan sama, terbunuh.

"Malangnya kita boleh mengatakan beberapa jam yang lalu dalam komuniti Barron, enam orang kehilangan nyawa mereka dalam serangan bersenjata," kata Datuk Bandar Guanajuato, Cesar Prieto.

Tembakan itu berlaku hanya dua minggu selepas lapan wanita dan tiga lelaki terbunuh dalam serangan balas dendam membabitkan kumpulan di dua bar dan sebuah hotel di Celaya, bandar lain di Guanajuato.

Terletak di pusat perindustrian Mexico yang aman dan menempatkan kilang penapisan dan saluran paip utama, Guanajuato menjadi salah satu negeri paling ganas di Mexico akibat pertikaian antara kartel Santa Rosa de Lima dan Jalisco Generasi Baru.

Kumpulan itu berjuang untuk mengawal laluan pengedaran dadah dan bahan api yang dicuri.

Sejak Disember 2006, apabila kerajaan melancarkan operasi antidadah tentera yang kontroversi, Mexico merekodkan lebih 340,000 pembunuhan, menurut angka rasmi.

Pihak berkuasa menyalahkan kebanyakan pembunuhan atas jenayah terancang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 10:12 AM