FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
AFP

New York: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memperoleh sokongan majoriti besar terhadap resolusi tidak terikat baharu yang menuntut Rusia menghentikan peperangan di Ukraine dengan serta-merta.

Pada mesyuarat di ibu pejabat PBB di New York, 140 negara anggota mengundi untuk menyokong, 38 berkecuali, manakala lima lagi menentang.

Pengundian itu menyusul selepas kelulusan resolusi tidak terikat yang serupa pada 2 Mac lalu yang menuntut Rusia menghentikan penggunaan kekerasan serta-merta, dengan undi 141 negara menyokong.

Rabu lalu, Ukraine mengemukakan resolusi baharu, yang asalnya disediakan oleh Perancis dan Mexico, pada sesi tergempar Perhimpunan Agung PBB.

Satu lagi teks saingan oleh Afrika Selatan yang tidak menyebut nama Rusia, bagaimanapun hanya meraih 50 undi menyokong, 67 menentang dan 36 berkecuali, sekali gus tidak diterima.

Resolusi diluluskan itu pula merujuk Moscow secara khusus serta 'menuntut permusuhan oleh Persekutuan Rusia terhadap Ukraine dihentikan serta-merta, terutama sebarang serangan ke atas orang awam dan objek awam.'

Lima negara sama mengundi untuk menentang resolusi semalam dan 2 Mac lalu - Rusia, Syria, Korea Utara, Belarus dan Eritrea.

Perwakilan AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, mengalu-alukan 'majoriti kukuh' daripada negara anggota yang meluluskan resolusi berkenaan.

"Negara terbabit menunjukkan dengan jelas bahawa Rusia bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis kemanusiaan dan keganasan yang teruk di Ukraine," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 2:51 PM