AHLI kumpulan pro-Rusia dilihat di bandar Mariupol. FOTO fail Reuters
AHLI kumpulan pro-Rusia dilihat di bandar Mariupol. FOTO fail Reuters
Reuters

Kyiv: Ukraine bersiap sedia selepas menjangkakan Rusia akan memulakan serangan di wilayah timur, Donbas tidak lama lagi.

Ia selepas melihat perkembangan terbaharu, Rusia mengalihkan tumpuan bagi merampas wilayah berkenaan selepas pasukan tentera mereka berundur dari Kyiv bulan lalu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata, sasaran utama Rusia di Donbas ialah pelabuhan Mariupol yang menyaksikan ribuan orang dipercayai terkorban dalam pengepungan hampir tujuh minggu.

Katanya, Rusia sedang mengumpulkan ribuan tentera di kawasan itu untuk melakukan serangan baharu.

Pemimpin Kesatuan Eropah pertama, Canselor Austria, Karl Nehammer yang bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin secara peribadi sejak perang bermula berkata, selepas perbincangan di Moscow, jelas menunjukkan serangan itu ternyata sedang disiap sediakan secara besar-besaran.

Katanya, sekatan Barat ke atas Moscow akan dipergiat selagi pencerobohan berterusan.

Amerika Syarikat (AS), yang memberi amaran kepada Moscow cuba untuk menguatkan dan membekalkan semula tentera di Donbas, berusaha untuk menekan Putin supaya menarik balik tenteranya dengan mengharamkan minyak dan gas Rusia dan menggalakkan sekutu untuk mengikutinya.

Namun, kuasa dunia termasuk China dan India mengelak daripada menyekat Rusia kerana terpedaya dengan diskaun tinggi.

India dilaporkan membeli lebih banyak minyak mentah Rusia sejak permulaan pencerobohan 24 Februari lalu berbanding sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sedang mendengar laporan mengenai rogol dan keganasan kedua-dua tentera Rusia dan Ukraine, kata pegawai PBB.

Presiden La Strada-Ukraine, Kateryna Cherepakha berkata, talian kecemasan kumpulan hak asasi manusia menerima panggilan yang menuduh tentera Rusia melakukan sembilan kes rogol membabitkan 12 wanita dan remaja.

Dalam pada itu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, Moscow tidak akan menghentikan pertempuran untuk sebarang pusingan baharu rundingan damai, yang kali terakhir diadakan pada 1 April lalu selagi persetujuan muktamad tidak dicapai.

Kementerian Pertahanan United Kingdom berkata, serangan Rusia berterusan di Donbas, namun tentera Ukraine menewaskan beberapa serangan dan memusnahkan kereta kebal Rusia, kenderaan lain dan peralatan meriam.

Gabenor wilayah timur lain, Luhansk, Serhiy Gaidai memberitahu televisyen Ukraine, serangan tembakan semakin meningkat dari hari ke hari dan menggesa semua orang awam untuk berpindah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 10:35 AM