EMPAT lelaki Nigeria diselamatkan Polis Brazil. FOTO Reuters.
EMPAT lelaki Nigeria diselamatkan Polis Brazil. FOTO Reuters.
Agensi

Brasilia: Empat warga Nigeria terselamat selepas menumpang secara haram sebuah kapal kargo yang belayar merentasi Lautan Atlantik dari negara mereka ke Brazil.

Sepanjang perjalanan selama dua minggu meliputi jarak kira-kira 5,600 kilometer itu, mereka duduk di bahagian atas kemudi di kapal kargo berkenaan.

Selepas 14 hari, mereka diselamatkan polis di pelabuhan tenggara Brazil, Vitoria.

Apa yang mengejutkan, mereka sebenarnya sudah kehabisan makanan dan minuman pada hari ke-10.

Namun, warga Nigeria itu memutuskan untuk minum air laut untuk meneruskan kehidupan.

Menurut salah seorang daripada mereka, Thankgod Opemipo Matthew Yeye, 38, mereka mengambil risiko berbahaya itu untuk mencuba nasib bagi mendapatkan kehidupan lebih baik.

"Ia adalah pengalaman mengerikan bagi saya.

"Ketika pelayaran, ia tidak mudah. ​​Saya gementar, sangat takut. Tetapi, syukur akhirnya saya di sini," katanya selepas ditemui di sebuah gereja di Sao Paulo.

Reuters melaporkan, empat lelaki itu mendakwa mereka sebenarnya ingin ke Eropah, namun terkejut apabila mendapati mereka tiba di Brazil.

Dua daripada lelaki itu secara sukarela kembali ke Nigeria, manakala Yeye dan Roman Ebimene Friday, 35, dari negeri Bayelsa mahu memohon suaka di Brazil.

Kedua-dua lelaki itu memilih meninggalkan tanah air mereka, negara paling ramai penduduk di Afrika kerana kesempitan ekonomi, politik tidak stabil dan jenayah serta endemik yang berpanjangan di negara itu.

Yeye, seorang paderi dari negeri Lagos, kehilangan ladang kacang tanah dan kelapa sawitnya akibat banjir menyebabkan dia dan keluarganya kehilangan tempat tinggal.

Dia berharap keluarganya dapat bersamanya di Brazil.

Friday pula berkata, mereka sebenarnya tidak mengenali antara satu sama lain, namun bertemu di kapal sama untuk misi sama.

"Kami sedaya upaya mengelak daripada dilihat anak kapal kerana bimbang mereka akan campak kami ke lautan.

"Sepanjang belayar, kami tidak dapat tidur kerana bunyi enjin bising dan tempat sempit.

"Kami hanya memasang jaring bagi mengelak terjatuh kerana kami nampak banyak ikan paus dan jerung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 11:13 AM