PENGEMBARA dari Afrika Selatan menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. FOTO AFP
PENGEMBARA dari Afrika Selatan menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam. FOTO AFP
AFP

The Hague: Varian Omicron dikatakan sudah ada di Eropah sebelum kes pertama dilaporkan di Afrika Selatan.

Itu data baharu dari Belanda ketika Amerika Selatan melaporkan dua kes pertamanya di Brazil.

Dalam tempoh seminggu sejak kemunculan varian baharu itu dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) oleh Afrika Selatan, berpuluh-puluh negara di seluruh dunia melakukan sekatan perjalanan yang kebanyakannya menyasarkan negara Afrika Selatan.

Bagaimanapun, WHO memberi amaran ketika Kanada memperluaskan sekatannya merangkumi Mesir dan Nigeria, larangan perjalanan berisiko itu mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Pihak berkuasa Belanda melaporkan Omicron dikesan di negara itu sebelum Afrika Selatan yang secara rasmi melaporkan kes pertamanya pada 25 November.

Varian baharu itu dengan bilangan mutasi lebih tinggi dipercayai WHO boleh menjadikannya lebih mudah menular atau kebal terhadap vaksin ditemukan dalam dua sampel ujian di Belanda antara 19 dan 23 November, dengan satu tidak mempunyai sejarah perjalanan.

Setakat ini, lebih 12 negara dan wilayah mengesan varian itu termasuk Australia, Britain, Kanada, Hong Kong, Israel, Itali dan Portugal.

Dalam kalangan negara Eropah, Belgium dan Jerman, kedua-duanya melaporkan kes varian baharu itu sebelum 25 November tetapi kedua-duanya dikaitkan dengan perjalanan ke luar negara

Amerika Selatan melaporkan dua kes pertamanya pada Selasa membabitkan mereka yang melakukan perjalanan dari Afrika Selatan ke Brazil.

Sementara itu, kes pertama disahkan di Jepun, sehari selepas negara itu melakukan sekatan terhadap semua pelancong asing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 9:35 AM