DUA remaja yang maut selepas jatuh dari air terjun. FOTO Agensi
DUA remaja yang maut selepas jatuh dari air terjun. FOTO Agensi
Agensi

Brasilia: Akibat asyik merakam gambar, dua remaja perempuan meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian 30 meter di sebuah air terjun di Brazil.

Kedua-dua sahabat itu maut selepas terjatuh bersama-sama di air terjun Salto Caveiras dekat kawasan perbandaran Lages.

Dilaporkan, pada mulanya, seorang daripada mereka tergelincir ketika berjalan di air terjun itu.

Seorang rakannya membantu sebelum mereka hilang imbangan badan dan sama-sama terjatuh.

Daily Mirror melaporkan, Bruna Vellasquez, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakannya, Monique Medeiros, 19, maut ketika menerima bantuan kecemasan daripada pasukan paramedik.

Kedua-dua mangsa dikebumikan di Santa Catarina, selatan Brazil.

Mereka sempat memuat naik gambar di media sosial ketika berada di lokasi sebelum tragedi itu.

Malah, Bruna bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-19 pada 28 September ini.

Rakan lain yang menzahirkan peringatan menyifatkan mereka tidak dapat dipisahkan apabila menemui ajal bersama.

Sementara itu, pasukan kecemasan berkata, air terjun berkenaan hanya boleh dilalui dengan berjalan dan jarang dikunjungi pelawat.

Tetapi penduduk setempat kerap ke situ kerana keindahan alam semula jadinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 8:00 AM