CALLIXE Nzamwita. FOTO Agensi
CALLIXE Nzamwita. FOTO Agensi
Agensi

Kigali, Rwanda: Seorang lelaki berusia 71 tahun, Callixe Nzamwita tinggal di sebuah rumah terpencil yang dikelilingi oleh pagar setinggi 15 kaki (kira-kira 4.5 meter) selama lebih 55 tahun kerana takut terhadap wanita, lapor Oddity Central.

Nzamwita yang ketika itu berusia 16 tahun bertindak sedemikian selepas berasakan ketakutannya terhadap wanita sudah tidak boleh dibendung.

Malah, dia juga tidak tahan berada di sekeliling individu yang berlainan jantina, apatah lagi bercakap dengan mereka.

Disebabkan itu, dia membina pagar kayu di sekeliling rumahnya dan sejak itu, tidak lagi keluar dari rumah.

Bagaimanapun, golongan wanita yang berada di kawasan tempat tinggal itu tidak menjauhinya, sebaliknya sentiasa menjaga Nzamwita dengan meletakkan bantuan berupa barangan makanan dan pakaian ke halaman rumah lelaki itu.

Walaupun lelaki itu tidak pernah membuka pintu untuk wanita, namun dia tetap menggunakan barangan yang diberikan kepadanya itu.

Seorang wanita berkata, tindakan Nzamwita itu pelik kerana mereka tidak pernah berdepan dengan situasi terbabit.

"Peliknya, walaupun dia takut wanita, kami yang membantu dia mendapatkan makanan dan beberapa perkara yang dia perlukan.

"Apabila cuba membantunya, dia tidak mahu kami mendekati atau bercakap dengannya. Sebaliknya, kami memberinya sesuatu dengan melemparkan ke dalam rumahnya, dan kemudian dia datang dan mengambilnya.

"Dia tidak membenarkan kami mendekatinya, tetapi dia masih mengambil apa yang kami berikan," kata wanita itu.

Walaupun dia tidak pernah benar-benar didiagnosis, Nzamwita dipercayai mengalami gynophobia, keadaan yang sangat jarang disifatkan sebagai 'ketakutan yang tidak masuk akal dan tidak rasional terhadap wanita'.

"Saya tidak mahu wanita di sekeliling saya kerana mereka menakutkan saya. Saya mengurung diri di sini dan mempunyai pagar di sekeliling rumah untuk memastikan wanita tidak akan mendekati saya," katanya.

Kisah Calixte mula mencuri perhatian dan menjadi tajuk utama berita pada Ogos lalu, apabila syarikat media di Afrika, Afrimax menyiarkan video mengenainya sebelum kisah lelaki itu tular.

Bagaimanapun, satu perkara yang tidak disebut oleh media adalah dari mana lelaki itu berasal, dan ia kelihatan agak ganjil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 12:30 PM