MESKIPUN berdepan kerja yang kotor, berdebu dan berat, namun ibu enam anak ini alah bisa tegal biasa.
MESKIPUN berdepan kerja yang kotor, berdebu dan berat, namun ibu enam anak ini alah bisa tegal biasa.
Roselan Ab Malek

KEHEBATAN wanita pada hari ini memang tidak dapat disangkal lagi.

Buktinya, ramai daripada golongan itu berjaya dalam pelbagai bidang termasuk yang selama ini didominasi lelaki.

Dalila Ahmad, 43, umpamanya antara wanita yang berjaya dalam mengusahakan perniagaan yang selama ini dikuasai lelaki.

Wanita dari Bandar Jengka, Maran, Pahang, itu mengusahakan produk simen dan dipasarkan ke seluruh Semenanjung.

Meskipun terpaksa berdepan keadaan kerja yang kotor, berdebu dan berat, namun bagi Dalila, alah bisa tegal biasa.

Dalila berkata, idea untuk mengusahakan produk simen tercetus kira-kira lapan tahun lalu apabila dia bersama suami melancong ke Rom.

Selain keindahan panorama, dia turut terpesona dan kagum dengan seni bina bangunan purba di sana.

"Kunjungan itu memberi inspirasi kepada kami untuk menceburi dunia pembuatan berasaskan simen untuk membentuk pelbagai jenis arca.

TIDAK kekok melakukan kerja yang dimonopoli lelaki.
TIDAK kekok melakukan kerja yang dimonopoli lelaki.

"Apabila pulang, saya dan suami cuba meniru seni bina itu seperti tiang roman, bentuk pasu, kerusi batu dan sebagainya sebagai hobi mengisi masa lapang.

"Selepas beberapa kali gagal, akhirnya kami berjaya membuat pelbagai jenis reka bentuk dan kami jadikan ia hiasan di luar kawasan rumah," katanya.

Dalila berkata, apabila jiran melihat keindahan pelbagai bentuk bahan yang diperbuat daripada simen itu, ada yang menempah sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

Katanya, beberapa tahun selepas itu, suaminya, Mohd Rafi Ikramuddin, 48, bercadang membuka kilang perusahaan produk simen seperti tiang roman, kerusi batu, pasu bunga, kepuk dan batu nisan.

"Suami banyak memberi dorongan dan kemudian mencadangkan supaya saya membuka kilang pasu bunga, set kerusi meja batu serta kepok kubur.

PELBAGAI produk berasaskan simen yang diusahakan Dalila.
PELBAGAI produk berasaskan simen yang diusahakan Dalila.

"Ia memandangkan saya lebih berminat dengan produk itu manakala suami lebih menumpukan kepada produk pelbagai jenis tiang roman, batu pagar dan batu bunga hiasan pagar," katanya.

Meskipun tidak pernah bermain dengan simen, pasir dan sebagainya sebelum ini, namun Dalila tetap berusaha sebaik mungkin untuk memastikan dia dapat membiasakan diri dengan pekerjaan itu.

Ibu kepada enam anak itu berkata, pada mulanya dia agak kekok kerana perlu belajar membancuh simen bersama pasir, gentian kaca dan air selain belajar cara membentuk produk itu menggunakan acuan.

Namun, dalam masa tiga bulan, Dalila semakin mahir dan kini sudah tidak kekok melakukan semua kerja itu.

Kini, kilangnya mampu mengeluarkan kira-kira 1,000 rekaan pelbagai produk simen yang diusahakan dan dihantar ke kedai binaan seluruh Semenanjung.

Malah, dia turut membantu suaminya menguruskan kilang tiang roman, batu pagar, batu bunga hiasan pagar memandangkan lokasi kilang mereka terletak dalam satu kawasan seluas 0.4 hektar.

ANTARA pekerja wanita yang membantu Dalila.
ANTARA pekerja wanita yang membantu Dalila.

Dalila turut mempunyai 10 pekerja terdiri daripada tenaga buruh asing dan penduduk tempatan, lelaki serta wanita.

"Sebaiknya, kita tidak boleh memilih kerja kerana siapa tahu, meskipun awalnya dilihat tidak sesuai dengan wanita, namun ia mungkin memberi kejayaan kepada kita.

"Semua itu tidak mustahil kerana wanita juga melakukan kerja yang dibuat lelaki.

"Apa yang penting perlu ada minat dengan kerja itu dan kerana ia akan memberikan keseronokan untuk diri sendiri," katanya.

Menurut Dalila, dua anak lelakinya, Amir Shah, 20, dan Imran Shah, 17, kini mula membantu perniagaannya terutama dari segi pemasaran serta penghantaran barang keluar daerah.

Katanya, ia antara usaha bagi membiasakan anak-anaknya itu dengan selok-belok dunia perniagaan.

"Orang tengok mudah, tetapi percaya sebenarnya bukan senang untuk menjadi senang.

"Semuanya perlukan usaha, keberanian menghadapi risiko dan kebijaksanaan merancang strategi dalam perniagaan," katanya.

PRODUK simen yang dikeluarkan syarikat Dalila dipasarkan ke seluruh Semenanjung.
PRODUK simen yang dikeluarkan syarikat Dalila dipasarkan ke seluruh Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:00 AM