SARINA membimbing England mara ke final Piala Dunia Wanita selepas skuad itu muncul juara Euro 2022. FOTO AFP
SARINA membimbing England mara ke final Piala Dunia Wanita selepas skuad itu muncul juara Euro 2022. FOTO AFP
Agensi

London: England mungkin mempertimbangkan untuk melantik pengurus skuad bola sepak wanita, Sarina Wiegmann bagi menggantikan Gareth Southgate.

Pengendali dari Belanda itu kini membimbing England mara ke final Piala Dunia Wanita selepas setahun memastikan mereka muncul juara Euro 2022.

Dia adalah pengurus tunggal sama ada bagi skuad lelaki atau wanita yang membimbing dua pasukan berbeza ke final Piala Dunia Wanita, selepas muncul sebagai naib juara bersama skuad Belanda di Amerika Syarikat (AS) pada 2019.

Sarina, 53, dikaitkan dengan tugasan membimbing skuad wanita AS selepas Vlatko Andonovski meletak jawatan.

Tetapi, dia masih memiliki kontrak dengan England sehingga 2025 dan Ketua Eksekutif FA, Mark Bullingham percaya "dia mampu melakukan apa saja yang dimahukannya dalam bola sepak."

Menurutnya: "Orang selalu berkata mengenai lelaki adalah pilihan terbaik untuk tugas itu atau orang Inggeris terbaik. Tetapi, kenapa selalunya seorang lelaki?

"Saya fikir, jawapan kami selalunya, 'ia adalah orang terbaik untuk tugasan ini.' Kami fikir, Sarina melakukan tugas dengan hebat dan berharap dia terus melakukannya untuk tempoh yang panjang. Saya fikir, Sarina boleh melakukan apa saja yang diingininya dalam bola sepak.

"Jika satu masa nanti pada masa depan dia memutuskan untuk menyertai bola sepak lelaki, ia pasti perbincangan yang menarik.

"Saya tidak fikir kami harus memandangnya sebagai perubahan arah, tetapi jika dia memutuskan mengenainya pada masa depan, saya fikir dia mampu melakukannya.

"Ia mengenai orang terbaik untuk tugasan itu dan jika dia adalah wanita, apa salahnya?

"Saya fikir pilihannya tidak ramai. Tetapi saya tidak suka dengan pemikiran menyatakan tugas itu hanya untuk lelaki."

FA akan mula mencari pengurus baharu untuk skuad lelaki selepas Euro 2024 apabila kontrak Southgate tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 10:27 PM