Ridhatul Rizki


“BILA nampak dia tergelincir, hampir nak gugur jantung saya. Nasib baik dia cekap dan sempat berpaut pada pagar balkoni jiran sebelah.”

Itu detik cemas yang terpaksa dilalui seorang wanita apabila kucing peliharaannya hampir terjatuh dari tingkat enam kediamannya di Flat Sri Tanjung, Semenyih, kira-kira tengah hari tadi.

Nurfadillah Mohamed Esah, 27, berkata, sebelum kejadian dia tidak menyedari kucingnya yang dipanggil Abang itu, mengikuti Nurfadillah keluar rumah.

“Ketika itu saya mahu menjemur pakaian di luar. Saya tak perasan dia ikut saya keluar. Bila selesai menjemur pakaian, baru saya perasan Abang tiada di rumah,” kata Nurfadillah ketika dihubungi, Harian Metro hari ini.

Tambahnya yang memiliki empat ekor kucing, dia terdengar bunyi kucing di luar dan mendapati Abang berada di pinggir balkoni rumah jirannya.

“Di antara rumah saya dan rumah jiran, terdapat belebas tingkap yang boleh dilalui kucing. Saya rasa dia nak melalui belebas tingkap itu tapi dia takut. Jadi saya cuba panggil dan umpan dia dengan makanan,” katanya yang baru dua minggu berpindah ke kawasan terbabit.

“Kami sekeluarga baru pindah di kawasan ini jadi Abang belum biasa dengan keadaan sekitar ini.

“Lagipun saya belum begitu kenal jiran sekeliling dan tak pasti jika jiran sebelah ada di rumah,” katanya.

Menurut Nurfadillah, setelah hampir tiga jam usaha memanggil Abang, akhirnya kucingnya itu pulang dengan selamat.

“Badannya agak berisi tapi pagar balkoni itu sempit untuk dia lalui. Hampir tiga jam, baru dia berjaya keluar dari balkoni terbabit dengan selamat.

Selepas ini saya perlu lebih berjaga-jaga dan perlu memasang pagar keselamatan agar kucing-kucing ini tak boleh keluar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 10:37 PM
KUCING bernama Abang tergelincir dan hampir jatuh dari tingkat enam. FOTO ihsan Nurfadillah Mohamed Esah
KUCING bernama Abang tergelincir dan hampir jatuh dari tingkat enam. FOTO ihsan Nurfadillah Mohamed Esah