WARTAWAN Harian Metro, Mohd Firdaus (dua dari kiri) menemu bual pelarian dari barat Burkina Faso yang berlindung di Bobo Dioulasso. Foto Asyraf Hamzah
WARTAWAN Harian Metro, Mohd Firdaus (dua dari kiri) menemu bual pelarian dari barat Burkina Faso yang berlindung di Bobo Dioulasso. Foto Asyraf Hamzah
Mohd Firdaus Ibrahim


Ouagadougou (Burkina Faso): Bumi Orang Jujur kini bertukar menjadi tanah paling menakutkan buat penduduknya.

Mana tidaknya, kumpulan pengganas dikaitkan dengan al-Qaeda dan Daish melancarkan serangan bersenjata yang meragut ribuan nyawa sejak pergolakan bermula pada tahun 2015.

Akibatnya, lebih 1.9 juta penduduk menjadi pelarian di bumi sendiri susulan amukan pengganas yang didakwa juga sebahagiannya terdiri daripada rakyat negara ini.

Kegagalan kerajaan terdahulu dan terkini selepas rampasan kuasa dilakukan pasukan tentera dalam mengekang serangan pengganas juga menyebabkan rakyat negara ini terus dihantui ketakutan.

Untuk rekod, serangan bersenjata itu berlaku di wilayah utara bersempadan dengan Mali dan kawasan barat yang bersempadan dengan Ivory Coast.

Terbaharu, sekurang-kurangnya 34 terbunuh dalam serangan ke atas kampung dipercayai dilakukan Daish di utara dan barat Burkina Faso pada awal Julai lalu.

Serangan di Namissiguima di wilayah Yatenga (utara) mengorbankan 12 orang manakala di barat negara itu, 22 dilaporkan terbunuh termasuk kanak-kanak di Bourasso, wilayah Kossi.

Wartawan Harian Metro yang berjaya menjejakkan kaki di sini selepas melakukan perjalanan lebih 11,365 kilometer dari Kuala Lumpur menemu bual mangsa yang terselamat dalam serangan itu.

Biarpun wartawan dihalang memasuki wilayah Kossi dan Yatenga oleh pihak berkuasa selepas menempuh perjalanan panjang ke sana, inisiatif mengesan mangsa serangan membuahkan hasil selepas terpaksa berpatah balik ke Solenzo dan Bobo-Dioulasso.


BAYI,  kanak-kanak dan wanita  turut menjadi pelarian selepas kampung mereka diserang pengganas. Foto Asyraf Hamzah
BAYI, kanak-kanak dan wanita turut menjadi pelarian selepas kampung mereka diserang pengganas. Foto Asyraf Hamzah

Enggan sedia wang, makanan, kenderaan punca serangan wilayah Yatenga (utara Burkina Faso)

"Awal Januari mereka (15 lelaki kumpulan bersenjata) datang minta penduduk kampung beri sokongan, sediakan logistik (kenderaan), duit dan makanan kepada mereka supaya tidak diganggu.

"Mereka beri masa sebulan untuk persediaan. Mereka mulanya hanya kasar atau pukul bukan Islam sahaja. Orang Islam tidak disentuh," kata Abdulla, 41.

Menurutnya, sebahagian penduduk yang takut sudah mengosongkan rumah dan melarikan diri bersama ahli keluarga menuju ke ibu kota.

"Tanah, rumah kami di sini, jadi majoriti penduduk tidak pindah. Pada Aidilfitri mereka kembali dan menuntut hak mereka. Ketika itu musim menuai padi dan jagung. Mereka mula pukul dan rampas semua bekalan makanan kami tidak kira Islam atau bukan," katanya.

Abdulla berkata, kumpulan itu kembali semula awal bulan ini, kira-kira jam 4 petang, lebih seratus lelaki bersenjata mengepung kampung dan melepaskan tembakan.

"Saya bersembunyi dalam rumah. Sejam kemudian, selepas keluar puluhan mayat bergelimpangan termasuklah abang saya. Kami yang terselamat terus melarikan diri," katanya ketika ditemui di Solenzo.

Aminata, 43, berkata serangan itu mengorbankan suami dan anak lelakinya.

"Suami, anak saya tidak bersalah mereka dibunuh seperti haiwan. Tembak sesuka hati. Malah, kumpulan lelaki itu ketawa selepas membunuh orang. Saya intai dari dalam rumah tanpa boleh berbuat apa-apa. Seluruh badan menggigil, malah sehingga kini bila ingatkan balik detik itu ia sangat menakutkan," katanya ketika ditemui di Solenzo.

Daniee, 38, berkata selepas kedatangan pertama mereka ke kampungnya, penduduk sudah melaporkan kejadian itu kepada polis dan tentera.

Tapi tiada siapa pun yang datang hinggalah serangan membunuh 12 orang itu. Tentera, polis datang untuk uruskan mayat dan setahu saya sehingga kini tiada tentera atau polis di kawasan kampung itu," katanya ketika ditemui di Solenzo.

Disebabkan itu, Daniee berkata, mereka nekad melarikan diri dengan berjalan sejauh 20 kilometer sebelum menaiki lori ke Solenzo untuk menumpang rumah penduduk di sini.

Buru individu mereka paling benci punca serangan di wilayah Kossi (barat Burkina Faso)

"Mereka datang cari seorang penduduk tempatan dan bunuh dia. Kami tidak tahu apa masalah antara mereka.

"Kumpulan bersenjata itu dalam tujuh orang sahaja. Selepas bunuh pemuda itu, mereka pergi," kata Moussa Sawadogo, 49, ketika ditemui di Bobo-Dioulasso di sini.

Menurutnya, disebabkan itu, penduduk mula berkumpul berbincang samada melarikan diri atau berlawan.

"Kami juga lapor polis, beritahu tentera tapi tiada siapa muncul. Penduduk akhirnya dipujuk sekumpulan pemuda kampung yang mempunyai senjata untuk melawan jika kumpulan itu datang semula.

"Saya dan penduduk yang tidak pandai guna senjata diminta duduk dalam rumah namun ada segelintir sudah melarikan diri.

"Ahad lalu, selepas Subuh kira-kira jam 5 pagi (1 tengah hari Malaysia) 3 Julai lalu kumpulan itu datang, tapi bukan lagi tujuh orang tetapi 400 lengkap bersenjata," katanya bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu walaupun 22 penduduk mati dalam serangan itu.

Dauda Koulobale, 33, berkata 22 pemuda dan orang dewasa termasuk kanak-kanak terkorban dalam serangan itu.

Dauda adalah antara pemuda yang mengangkat senjata melawan kumpulan Daish itu berkata, kekurangan peluru dan hanya 10 daripada ahli kumpulannya mempunyai senjata api membuatkan mereka tewas.

"Mereka datang 400 orang lengkap bersenjata, kepung kampung dan lepaskan tembakan. Kami balas tembakan mereka, tetapi apabila peluru habis tiada apa lagi boleh dilakukan. Hanya serah nasib pada Allah.

"Mulanya kami sangka hanya kumpulan kecil akan datang seperti sebelumnya tetapi mereka memang ramai. Semua ahli kumpulan saya yang berlawan dengan mereka terkorban, hanya saya terselamat," katanya ketika ditemui di Bobo-Dioulasso.

Katanya, dia hingga kini menyesal kerana pujukan dia dan rakan-rakannya supaya penduduk tidak berpindah dan menyertai mereka melawan pengganas akhirnya membunuh ramai orang terutamanya kanak-kanak.

"Beban ini akan saya pikul sampai mati," katanya.

Sementara itu, dengan bantuan orang tengah wartawan diaturkan bertemu dengan seorang pegawai kanan polis di Ouagadougou.

Dia yang tidak mahu namanya disiarkan dalam artikel ini ketika ditanya kenapa pihak berkuasa tidak datang ke kawasan perkampungan penduduk selepas menerima laporan, segera menyalahkan kerajaan kini yang dipimpin tentera kerana tidak bertindak.

"Kerajaan rakyat sudah digulingkan, kini tentera pimpin. Mereka sepatutnya bertindak bukan polis," katanya mendakwa turut terkilan dengan kematian rakyat negara itu.

Biarpun diasak pelbagai soalan, pegawai kanan polis itu berkata, pasukannya tidak dilatih tangani pengganas apatah lagi kekangan kuasa diberikan kerajaan junta kepada pihaknya juga membuatkan tangannya terikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 12:00 PM