PESAWAT Ethiopian Airlines. FOTO fail AFP
PESAWAT Ethiopian Airlines. FOTO fail AFP
Agensi

Addis Ababa: Sebuah pesawat Ethiopian Airlines nyaris terbabit nahas apabila dua juruterbangnya tertidur pada ketinggian 11,000 meter.

Ia menyebabkan pesawat kehilangan arah landasan lapangan terbang, namun mereka sempat tersedar untuk mendaratkan pesawat itu dengan selamat, kata sebuah penerbitan penerbangan.

BBC melaporkan, trafik udara cuba menghubungi mereka selepas mereka melampaui titik turun ke lapangan terbang di Addis Ababa, Habsyah.

Namun kedua-dua juruterbang itu terjaga dan berjaya mendaratkan pesawat pada percubaan kedua, kata Aviation Herald.

Kru Ethiopian Airlines sudah diberi cuti sementara menunggu siasatan, lapor akhbar milik kerajaan, Fana.

Penerbangan pesawat penumpang berkenaan berlepas pada Isnin dari lapangan terbang Khartoum di Sudan.

Pesawat Boeing 737 dengan kapasiti 154 tempat duduk biasanya mengambil masa kurang daripada dua jam dalam laluannya antara negara jiran.

Kejadian tidur di tempat kerja itu mendapat reaksi pelbagai daripada netizen termasuk simpati dengan jadual kerja juruterbang.

"Saya tidak akan menyalahkan kru Habsyah secara khusus di sini. Ia adalah sesuatu yang boleh berlaku kepada mana-mana kru di dunia dan ia mungkin sudah berlaku. Kesalahan terletak pada perbadanan dan pengawal selia," kata satu komen mengenai insiden disiarkan di laman sesawang Aviation Herald itu.

Pengguna lain mencadangkan bahawa hanya ada satu penyelesaian: "Penamatan karier. Tamat cerita. Noktah."

Individu lain melihat sisi lucu cerita itu, mengulas di Twitter, "Tidur dalam kerja yang dibawa ke tahap yang lebih tinggi!".

Seorang penganalisis penerbangan menyebut kejadian itu di Twitter sebagai 'sangat membimbangkan'.

"Kepenatan juruterbang bukanlah sesuatu yang baru dan terus menimbulkan satu daripada ancaman paling ketara kepada keselamatan udara di peringkat antarabangsa," ciap penganalisis penerbangan, Alex Macheras.

BBC sudah menghubungi Ethiopian Airlines untuk mendapatkan komen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 11:38 AM