AFP

Dodoma: Angka kematian akibat nahas pesawat di Tanzania, semalam, meningkat kepada 19 orang.

Perdana Menteri Kassim Majaliwa mengesahkan perkara itu selepas penerbangan Precision Air dengan puluhan penumpang di dalamnya terjunam ke Tasik Victoria ketika menghampiri bandar barat laut Bukoba.

"Semua warga Tanzania bersama anda dalam berkabung atas 19 orang yang kehilangan nyawa dalam kemalangan ini," kata Majaliwa kepada orang ramai selepas tiba di lapangan terbang Bukoba, di mana penerbangan itu dijadualkan mendarat dari ibu kota kewangan, Dar es Salaam.

Tetapi Precision Air, sebuah syarikat tersenarai awam yang juga syarikat penerbangan persendirian terbesar Tanzania dalam satu kenyataan memaklumkan, 24 orang terselamat dalam kemalangan itu, dengan seorang pegawai syarikat penerbangan memberitahu AFP, dua lagi pesakit yang dimasukkan ke hospital tidak berada di dalam pesawat itu.

Syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya menghantar penyelamat dan penyiasat ke tempat kejadian dan menyatakan simpati mendalam terhadap kemalangan itu yang berlaku jam 8.53 pagi (waktu tempatan) pada Ahad.

Rakaman video yang disiarkan di media tempatan menunjukkan pesawat itu sebahagian besarnya tenggelam ketika penyelamat termasuk nelayan, meredah air untuk membawa orang ramai ke tempat yang selamat.

Presiden Samia Suluhu Hassan mengucapkan takziah kepada mereka yang terjejas dalam kemalangan itu, dengan berkata: "Kami berdoa kepada Tuhan untuk membantu kami."

Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Moussa Faki Mahamat turut menyampaikan ucapan takziah, begitu juga dengan setiausaha agung blok serentau, Komuniti Afrika Timur, Peter Mathuki.

"Komuniti Afrika Timur menyertai dan menyampaikan ucapan takziah kepada Mama Samia Suluhu Hassan, keluarga dan rakan yang terjejas dalam kemalangan pesawat Precision Air," kata Mathuki, juga di Twitter.

Kemalangan itu berlaku lima tahun selepas 11 orang maut apabila sebuah pesawat milik syarikat safari Coastal Aviation terhempas di utara Tanzania.

Pada Mac 2019, pesawat Ethiopian Airlines dari Addis Ababa ke Nairobi terhempas di selatan ibu negara Habsyah, enam minit selepas berlepas dan mengorbankan semua 157 kru dan penumpang.

Bencana itu, lima bulan selepas nahas sama di Indonesia, mencetuskan perdebatan global mengenai model jet Boeing 737 MAX.

Pada 2000, satu lagi penerbangan Kenya Airways dari Abidjan ke Nairobi terhempas ke Lautan Atlantik beberapa minit selepas berlepas, mengorbankan 169 orang, manakala 10 terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:04 AM
PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Precision Air di Tasik Victoria. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Precision Air di Tasik Victoria. FOTO AFP