GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Lusaka, Zambia: Satu pesawat kargo Ethiopian Airlines secara tidak sengaja telah mendarat di lapangan terbang yang masih dalam pembinaan.

Pesawat berkenaan mendarat di lapangan terbang di wilayah Copperbelt yang masih belum siap sepenuhnya.

Ketika ini, lapangan terbang yang beroperasi adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Mwansa Kapwepwe yang terletak kira-kira 15 kilometer dari lokasi ia mendarat.

Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Misheck Lungu berkata, juruterbang itu memaklumkan bahawa dia 'secara tidak sengaja' mendaratkan pesawat di lokasi berkenaan.

"Ketika dia hendak mendaratkan pesawat, dia berkomunikasi dengan radar dan mereka memaklumkan bahawa tidak nampak pesawat itu.

"Maka, dia mengambil keputusan untuk terus mendarat di lapangan terbang yang masih belum siap itu," katanya.

Lungu berkata, tidak ada sebarang kerosakan berlaku dan penyiasat akan mengeluarkan laporan lengkap berkaitan kejadian berkenaan.

Juruterbang itu kemudiannya menerbangkan semula pesawat berkenaan ke destinasi sebenar.

Ethiopian Airlines tidak dapat dihubungi untuk sebarang komen.

Pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Copperbelt sepatutnya dijadualkan pada pertengahan 2020 namun ia ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 9:43 PM