ERDINA Br Sihombing ketika mendapat rawatan di Hospital Murni Teguh.
ERDINA Br Sihombing ketika mendapat rawatan di Hospital Murni Teguh.
Agensi

Jakarta: Seorang wanita di Medan, Sumatera Utara sanggup menahan kesakitan apabila memotong empat jari tangan kirinya sebelum mereka-reka cerita kononnya dirompak.

Wanita berusia 54 tahun itu terpaksa berbuat demikian kerana terdesak mencari jalan untuk melunaskan hutangnya yang berjumlah lebih 70 juta rupiah (kira-kira RM20,000).

Namun, perbuatan itu ternyata sia-sia apabila dia akhirnya ditahan polis kerana membuat aduan palsu.

Tertuduh, Erdina Br Sihombing kemudian didakwa di Mahkamah Pengadilan Negeri (PN) Medan, baru-baru ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa meminjam daripada enam individu membabitkan jumlah lebih 70 juta rupiah.

Ketika kejadian, suspek dikatakan menggunakan parang yang diambil dari rumahnya di Jalan Mamiyai, Medan.

Tertuduh kemudian mengambil pecahan batu dari bekas simen berukuran 10 sentimeter (sm) x 15 sm dan kain sarung yang dibawa dari rumah.

"Dia meletakkan tangan kiri dengan posisi keempat jari berada di atas batu dan dengan sekali hayun, dia memotong keempat-empat jarinya itu," kata pihak pendakwaan.

Menurut pihak pendakwaan, empat jari tangan tertuduh terputus dan mengeluarkan banyak darah.

Wanita itu kemudian membungkus jarinya dengan kain sarung.

"Sementara itu, keempat-empat jari tangan tertuduh dimasukkan ke dalam plastik lalu dibuang ke dalam parit yang terletak kira-kira 100 meter dari situ.

"Kemudian, dia menghubungi beberapa orang lain dan meminta pertolongan untuk dihantar ke Hospital Murni Teguh untuk mendapatkan rawatan.

"Ketika ditanya oleh orang, tertuduh mendakwa menjadi mangsa rompakan," katanya.

Pihak pendakwaan berkata, anak tertuduh, Nico Johan Saputra Manurung membuat laporan polis di Medan.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui unsur meragukan sebelum tertuduh akhirnya mengaku dia sengaja mereka-reka cerita.

"Dia juga mengakui kepada polis bahawa terpaksa berbuat demikian dengan harapan si peminjam berasa kasihan dan tidak akan menuntut hutang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:58 AM