GAMBAR Hiasan. FOTO AFP.
GAMBAR Hiasan. FOTO AFP.
Agensi

Quebec, Kanada: Seorang lelaki yang menghidap kecelaruan identiti integriti badan (BIID) meminta doktor memotong jari manis dan kelingking pada tangan kirinya selepas merasakan ia bukan bukan miliknya.

Gangguan BIID adalah keadaan sangat jarang berlaku yang berciri keinginan kuat dan berterusan untuk memperoleh kecacatan diri.

Disebabkan tiada rawatan mampu mengawal gangguan pesakit itu, doktor akhirnya memutuskan memotong jari yang 'bermasalah' kepadanya demi kesihatan mental yang lebih baik

Dr Nadia Nadeau daripada Jabatan Psikiatri Universiti Laval, Quebec City, baru-baru ini menerbitkan laporan berkaitan kes terbabit yang menjelaskan pesakit mengalami pemikiran trauma apabila sejak kecil berpendapat dua jari terakhir di tangan kirinya bukan sebahagian anggota badan.

Katanya, sepanjang hidup pesakit itu derita dengan pemikiran yang menyebabkan dia kesakitan, kerengsaan berterusan, ketangkasan terjejas dan mimpi ngeri bahawa kedua-dua jarinya membusuk atau terbakar.

"Walaupun pesakit tidak berkongsi keresahan itu dengan keluarganya kerana malu, dia sering berkhayal sedang membuang jarinya sendiri.

"Dengan bekerja di kilang papan, pesakit pernah mempertimbangkan untuk membina 'instrumen hukuman' yang boleh memotong jarinya.

"Dia sedar kecederaan diri bukanlah penyelesaian yang selamat dan boleh memberi kesan kepada hubungan, reputasi dan kesihatannya. Namun pesakit tidak dapat membayangkan dirinya hidup untuk tahun-tahun akan datang dengan jari-jari itu," tulis Dr Nadia.

Oleh kerana pengimejan otak lelaki itu kelihatan normal, dia ditawarkan pilihan rawatan bukan invasif seperti terapi tingkah laku kognitif, antidepresi, antipsikotik dan terapi pendedahan tetapi tiada satu pun daripada rawatan itu terbukti berjaya.

Penilaian psikiatri dibuat menunjukkan lelaki itu layak memohon amputasi (memotong) bahagian badan secara sukarela dan dirujuk ke jabatan ortopedik, sebelum keputusan dibuat iaitu membuang dua jari itu sebagai cara rawatan terbaik untuknya.

Dia kemudian diletakkan dalam penilaian selama enam bulan yang mengesahkan semua mimpi buruknya sebelum ini hilang serta-merta bersama tekanan emosi.

"Dia kini menjalani kehidupan yang bebas daripada tekanan mengeluarkan jari itu. Amputasi membolehkan dia hidup selari identiti diingini," kata Dr Nadia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 2:30 PM