SETAKAT ini tiga pelarian Rohingya di kem Ukhiya dan Teknaf maut akibat Covid-19. FOTO AFP
SETAKAT ini tiga pelarian Rohingya di kem Ukhiya dan Teknaf maut akibat Covid-19. FOTO AFP
Agensi

DHAKA: Dua lagi pelarian Rohingya di kem pelarian di selatan Bangladesh maut akibat Covid-19, lapor The Business Standard.

Ketua Koordinator Kesihatan di Suruhanjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Rohingya (RRRC), Dr Abu Toha MR Bhuiyan mengesahkan, seorang daripadanya yang berusia 58 tahun itu menghuni kem 10 sementara mangsa berusia 70 tahun itu dari kem tujuh.

Mangsa berusia 58 tahun itu meninggal dunia pada Ahad diikuti seorang lagi pada Isnin.

Sampel mereka diambil lebih awal dan kedua-duanya diuji positif pada Selasa.

Dr Abu Toha berkata, berita kematian mereka tidak didedahkan lebih awal kerana menunggu pengesahan laporan ujian.

Keputusan ujian yang menunjukkan mereka positif keluar selepas kematian mereka.

Setakat ini wabak berkenaan meragut nyawa tiga pelarian Rohingya di kem Ukhiya dan Teknaf, dekat Cox's Bazar.

Pada 6 Jun lalu, pihak berkuasa mengesahkan Cox's Bazar sebagai zon merah pertama di negara itu sebaik perintah berkurung dilaksanakan.

Hari berikutnya, Teknaf dan Ukhiya juga diisytiharkan zon merah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:31 PM