GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Reuters

COX’S BAZAR: Dua etnik Rohingya ditembak mati oleh pengawal sempadan Bangladesh ketika mereka cuba menyeludup masuk ke negara itu dari Myanmar semalam.

Pemerintah Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB), Mohammad Faisal Hasan Khan berkata, kejadian berlaku di daerah Teknaf, Cox’s Bazar.

Menurutnya, pada awal pagi semalam, sekumpulan etnik Rohingya merentasi sungai di sempadan dengan bot.

“Pengawal sempadan mengarahkan kumpulan itu untuk menyerah diri, namun mereka membalas dengan melepaskan tembakan,” katanya kepada Reuters.

Hasan berkata, selepas pertempuran selesai, pengawal BGB menemui dua Rohingya terbaring dengan kesan tembakan pada badan mereka sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Pihak berkuasa menemui 70,000 pil methamphetamine yang dikenali sebagai Yaba di Bangladesh bersama raifal dan peluru daripada mereka.

Jurucakap polis Superintendan, Iqbal Hossain berkata, seramai 44 etnik Rohingya terbunuh dalam tembak-menembak dengan agensi penguatkuasa sejak Januari lalu.

“Semua mereka terbabit dalam penyeludupan dadah, rompakan, pemerdagangan manusia dan penjualan senjata api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 6:48 PM