Haznah mewakili Kerajaan Malaysia dan Shah Rezwan mewakili Kerajaan Bangladesh ketika upacara menandatangani dokumen dan batu monumen sebagai simbolik kepada penyerahan Kompleks Hospital Medan Malaysia (HMM) Cox’s Bazar, semalam. FOTO IHSAN ATM
Haznah mewakili Kerajaan Malaysia dan Shah Rezwan mewakili Kerajaan Bangladesh ketika upacara menandatangani dokumen dan batu monumen sebagai simbolik kepada penyerahan Kompleks Hospital Medan Malaysia (HMM) Cox’s Bazar, semalam. FOTO IHSAN ATM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Selepas tiga tahun beroperasi, Kerajaan Malaysia secara rasminya menyerahkan Kompleks Hospital Medan Malaysia (HMM) Cox's Bazar kepada Kerajaan Bangladesh, semalam.

Bahagian Perhubungan Raya Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan acara bersejarah itu disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh Haznah Md Hashim mewakili Kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Refugee Relief and Repatriation Commissioner (RRRC), Shah Rezwan Hayat mewakili Kerajaan Bangladesh.

"Penyerahan kompleks ini menandakan penarikan penuh pengoperasian HMM di Cox's Bazar yang beroperasi selama tiga tahun sejak Ogos 2017.

"HMM adalah hospital medan tahap tiga yang pertama beroperasi di Cox's Bazar bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada lebih satu juta pelarian Rohingya.

"Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk menamatkan pengoperasian HMM pada tahun ini berbanding dengan mandat operasi yang sepatutnya tamat pada Disember 2021," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah pegawai-pegawai Kanan dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Director General dan pegawai kanan dari Ministry of Foreign Affairs Bangladesh, pegawai dari Ministry of Disaster Management and Relief Bangladesh, Ketua UNHCR di Cox's Bazar Ita Schutte, wakil Tentera Darat Bangladesh, Country Director HOPE Foundation dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain serta Ketua Tim HMM Kolonel Dr Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar.

Menurutnya, Haznah dalam ucapannya menyatakan penyerahan kompleks itu melambangkan sokongan berterusan dan solidariti Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Bangladesh dalam menangani isu pelarian di Bangladesh selain melambangkan hubungan persaudaraan di antara dua negara.

"Dalam ucapan balas Pesuruhjaya Tinggi RRRC, beliau menyatakan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang membantu Kerajaan Bangladesh bagi menyediakan khidmat bantuan kemanusiaan yang terbaik kepada pelarian Rohingya di Cox's Bazar dan penduduk tempatan berhampiran.

"Selepas majlis penyerahan aset kepada RRRC, Haznah juga berbesar hati untuk menyampaikan sendiri sumbangan peralatan perubatan dari HMM kepada wakil Tentera Darat dari Divisyen keseluruh Infantri, Kem Ramu," katanya.

Katanya, majlis itu disempurnakan dengan upacara menandatangani dokumen dan batu monumen sebagai simbolik kepada penyerahan kompleks," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 4:34 PM