JALAN di tengah Milan yang lengang susulan perintah ‘lockdown’ bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu. FOTO AFP
JALAN di tengah Milan yang lengang susulan perintah ‘lockdown’ bagi mengekang penularan Covid-19 di negara itu. FOTO AFP
Agensi

Rom: Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam kalangan doktor Itali mencecah 100 orang apabila empat lagi pasukan barisan hadapan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, semalam.

Jurucakap Persekutuan Doktor Itali (FNOMCeO) berkata, bilangan doktor meninggal dunia akibat pandemik itu meningkat hari demi hari dan ia sangat membimbangkan.

“Bilangan doktor yang meninggal dunia kerana Covid-19 berjumlah 100 dan mungkin 101 hari ini... malangnya," kata jurucakap FNOMCeO kepada AFP.

Laporan media Itali menganggarkan 30 jururawat dan pembantu jururawat meninggal dunia akibat Covid-19.

Jumlah itu termasuk doktor pesara yang kembali bekerja secara sukarela ketika penularan wabak berkenaan.

Mereka adalah antara 8,000 kakitangan perubatan menjadi sukarelawan bulan lalu untuk pasukan barisan hadapan di negara itu.

Sesetengah hospital di Lombardy dan kawasan lain dilaporkan berdepan dengan kekurangan kakitangan yang diperlukan untuk merawat jumlah pesakit.

Berdasarkan rekod, kebanyakan mangsa bekerja di dalam dan di sekitar Lombardy, wilayah yang menjadi pusat penularan wabak itu di Itali.

Bagaimanapun, ada juga doktor yang meninggal dunia di selatan negara itu seperti di Le Marche, Campania, Sicily dan Puglia.

Berdasarkan rekod Institut Kesihatan Awam Itali (ISS), seramai 13,121 anggota kesihatan di negara itu dilaporkan dijangkiti Covid-19.

“Kami tidak boleh membenarkan doktor kami, pekerja kesihatan kami, dihantar untuk berperang tanpa sebarang perlindungan diri,” kata Presiden FNOMCeO, Filippo Anelli di laman web persatuan itu.

ISS menganggarkan 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti Covid-19 di Itali bekerja dalam bidang kesihatan.

Sehingga semalam, wabak itu sudah menyebabkan lebih 17,000 kematian di negara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 1:18 PM