SAMARAN digunakan Schiave (gambar kecil) untuk mengambil lesen memandu bagi pihak ibunya. FOTO Agensi
SAMARAN digunakan Schiave (gambar kecil) untuk mengambil lesen memandu bagi pihak ibunya. FOTO Agensi
Agensi

BRASILIA: Seorang lelaki ditangkap selepas menyamar sebagai ibunya berusia 60 tahun semata-mata mahu mengambil lesen memandu bagi pihak wanita itu yang berulang kali gagal mendapatkannya sendiri.

Maria Schiave, dari Porto Velho di utara negara itu gagal tiga kali sebelum ini untuk mendapatkan lesen memandu kerana tidak lulus ujiannya, lapor Daily Mail.

Susulan itu, kerana terlalu kasihan dan sayangkan ibunya, anak lelakinya Heitor, 43, membuat keputusan pelik itu, Selasa minggu lalu dengan menduduki peperiksaan lesen memandu kali keempat bagi pihak Maria.

Mekanik itu sanggup berpakaian wanita termasuk solekan penuh dan kuku dicat merah, selain blaus berbunga serta skirt labuh.

Rambutnya turut didandan supaya kelihatan lebih feminin malah berjaya hampir mengaburi mata pemeriksa wanita yang mengendalikan ujian hari itu.

Bagaimanapun, pemeriksa itu merasakan sesuatu yang pelik apabila melihat gayanya yang kekok selain tangannya yang besar dan suaranya yang jelas ‘dilembutkan.’

Susulan itu, pemeriksa berkenaan mengarahkan Schiave memberikan pengenalan diri sekali lagi untuk diperiksa semula menyebabkan samarannya terbongkar.

Pemeriksa itu, Aline Mendonça memberitahu polis: “Pada mulanya saya tidak perasan sesuatu yang pelik kerana baru melakukan peperiksaan untuk calon kelima pada hari itu, jadi tidak begitu memberikan perhatian.

“Namun apabila duduk bersebelahannya di dalam kereta saya terus merasakan ada benda yang tidak kena lalu mengenal pastinya sebagai lelaki.

“Dia juga terlalu berusaha kelihatan feminin secara semula jadi malah solekannya sangat bagus, memang cantik parasnya.”

Katanya, apabila curiga dan melihat pengenalan diri Schiave itu dia terus mengenal pastinya sebagai lelaki seterusnya menghubungi polis.

“Perbuatannya satu jenayah. Pihak kami amat mementingkan kualiti pemeriksaan tinggi.

“Sesiapa yang menganggap boleh menipu untuk mendapat lesen memandu patut berfikir dua kali sebelum mencubanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 11:50 AM