Dubai: Helah seorang lelaki meminta rakannya menduduki peperiksaan memandu bagi pihaknya terbongkar selepas ‘penggantinya’ itu gagal menyahut apabila nama dipanggil.

Mahkamah di Dubai diberitahu, pemeriksa Ali Sayed mengesyaki sesuatu tidak kena apabila si pengganti itu tidak menyahut setiap kali namanya dipanggil.

“Saya kemudian menyemak wajahnya dalam fail permohonan dan mendapati orangnya berbeza dengan yang berada di depan saya.

“Tetapi gambar pada kad latihan memandu pula sama dengan orang di depan saya.

“Apabila kembali ke pejabat, saya memintanya menunggu keputusan peperiksaan sebelum melaporkan kejadian itu kepada penyelia, namun lelaki itu sempat melarikan diri,” katanya.

Hasil pemeriksaan polis mendapati pemegang kad latihan memandu itu tidak sama dengan orang yang datang mengambil peperiksaan.

Sehubungan itu, pemegang kad sebenar dikenali sebagai TS mengaku mengupah orang bernama Kasim untuk mengambil peperiksaan itu menggantikannya dengan upah Dh5,000 (RM5,000).

“Saya mengeluarkan gambar saya pada kad itu dan menggantikannya dengan gambar Kasim,” kata TS.

Mahkamah menetapkan 28 Mei untuk menjatuhkan hukuman. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:16 AM