PENEMUAN lapan ketul emas seberat hampir 1.9 kilogram. FOTO Agensi.
PENEMUAN lapan ketul emas seberat hampir 1.9 kilogram. FOTO Agensi.
AFP

MOSCOW: Pegawai kastam Russia menahan seorang wanita berdekatan sempadan China kerana menyembunyikan hampir dua kilogram emas di dalam kasutnya, semalam.

Jurucakap kastam wilayah, Marina Boiko, berkata warga Russia itu ditahan di pusat pemeriksaan kastam di timur Siberia selepas dia kelihatan cemas, berjalan dengan tidak selesa dan kelakuannya mencurigakan.

Hasil siasatan membawa kepada penemuan lapan ketul emas seberat hampir 1.9 kilogram.

“Ketulan emas itu dilekatkan dalam kasut menggunakan pita pelekat. Penemuan itu dianggarkan bernilai 5 juta rubles (RM325,501),” kata Boiko dalam kenyataan.

Menurut Boiko, sejak awal tahun ini, pihak berkuasa beberapa kali menahan rakyat Russia kerana cuba menyeludup emas ke China.

Pada Ogos lalu, seorang wanita Russia ditahan kerana cuba membawa keluar 10 ketul emas ketika sesi latihannya.

Kegiatan melombong emas dilakukan secara meluas di Siberia. Empangan runtuh berhampiran lombong emas di Siberia, pada bulan lalu mengorbankan 17 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 11:45 AM