Ketulan emas yang bertaburan di atas landasan. - Agensi
Ketulan emas yang bertaburan di atas landasan. - Agensi
Agensi

Moscow: Landasan sebuah lapangan terbang di Siberia, Russia, dipenuhi emas apabila pintu kargo pesawat membawa berlian, platinum dan emas bernilai £265 juta (RM1.5 bilion) terbuka sebelum tercabut ketika berlepas, kelmarin.

Menurut AFP, pesawat Antonov milik Nimbus Airlines itu berlepas selepas mengisi minyak di lapangan terbang di Yakutsk, Siberia, apabila pintu jet kargo di belakang terbuka dan hampir 200 ketul emas dari lombong emas Kupol, bertaburan di atas landasan.

Daily Mail yang memetik Siberian Times melaporkan, kargo berkenaan milik syarikat Chukota Mining dan Geological yang 75 peratus sahamnya milik Canadian Kinross Gold.

Yakutsk ialah bandar utama Yakutia atau Republik Sasha, wilayah pengeluaran berlian Russia.

Menurut AFP, Jawatankuasa Siasatan Russia dalam kenyataan di Telegram menyatakan perubahan tekanan akibat ketinggian pesawat menyebabkan pintu kargo rosak.

Pesawat yang dalam perjalanan ke Krasnoyarsk itu kemudian membuat pendaratan cemas di Magan.

Polis segera menutup landasan dan hanya pasukan khas keselamatan dibenarkan masuk ke landasan untuk menyiasat dan mengumpul kargo berharga terbabit.

Menurut Siberian Times, kru darat yang menyediakan pesawat untuk berlepas bagaimanapun ditahan untuk siasatan.

Agensi berita TASS melaporkan, Kementerian Dalam Negeri Russia menyatakan hanya sebahagian emas daripada sembilan tan yang berada dalam pesawat jatuh.

Laman web tempatan menyatakan kira-kira 172 ketul seberat 3.4 tan ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 6:49 AM