KELLY (tengah) dipenjarakan di New York selepas didakwa melakukan pelbagai kesalahan jenayah seksual di  Brooklyn dan Chicago. FOTO REUTERS
KELLY (tengah) dipenjarakan di New York selepas didakwa melakukan pelbagai kesalahan jenayah seksual di Brooklyn dan Chicago. FOTO REUTERS
Reuters

NEW YORK: Penyanyi R. Kelly yang dipenjara bulan lalu, didakwa hari ini atas kesalahan mendapatkan layanan seks dengan gadis bawah umur di sebuah hotel di Minneapolis 18 tahun lalu.

Kelly, 52, dituduh di Minnesota kerana membayar AS$200 (RM836) kepada seorang remaja perempuan berusia 17 tahun untuk menanggalkan pakaian dan menari untuknya sebelum melakukan aktiviti seksual.

Peguam Hennepin County, Mike Freeman berkata, aktiviti seksual itu tidak termasuk hubungan seks dan mangsa menceritakan kejadian itu kepada abangnya.

Bagaimanapun, mangsa hanya tampil ke hadapan selepas pelbagai dakwaan terhadap penyanyi R&B itu timbul.

Bulan lalu, Kelly atau nama sebenarnya Robert Sylvester Kelly dipenjarakan di New York selepas didakwa melakukan pelbagai kesalahan jenayah seksual di Brooklyn dan Chicago.

Pada Februari lalu, pendakwa raya di Cook County, Illinois menuduh Kelly dengan 10 pertuduhan penderaan seksual terhadap seorang gadis bawah umur.

Perbuatan Kelly terbongkar selepas tujuh wanita termasuk isterinya menuduh penyanyi itu melakukan penderaan emosi dan seksual terhadap mereka dalam sebuah dokumentari televisyen terbitan Lifetime.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 10:50 AM