AFP

New York: Penyanyi R Kelly didapati bersalah atas pertuduhan mengeksploitasikan statusnya sebagai artis superstar untuk melakukan aktiviti jenayah seksual membabitkan wanita dan kanak-kanak, meliputi tempoh dua dekad.

BBC melaporkan 11 individu, sembilan wanita dan dua lelaki, tampil dalam perbicaraan meliputi tempoh enam minggu itu untuk menggambarkan penderaan seksual dilakukan artis itu.

Juri mengambil masa dua hari sebelum memutuskan Kelly bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.

Mahkamah memutuskan 4 Mei untuk tarikh jatuh hukum.

Kelly, 54, berdepan hukuman penjara sepanjang hayat.

Juri mendapati Kelly yang nama sebenarnya Robert Sylvester Kelly mendapatkan mangsa dan kanak-kanak untuk didera secara seksual.

Penyanyi itu yang terkenal dengan lagu I Believe I Can Fly juga didapati bersalah atas tuduhan memperdagangkan wanita antara negeri dalam Amerika Syarikat dan membuat pornografi kanak-kanak.

Seorang daripada wanita dalam keterangan bertulis berkata, Kelly mengurung, memberi dadah dan merogolnya.

Dokumen mahkamah juga menunjukkan penderaan dilakukan Kelly apabila mangsa tidak dibenarkan untuk makan atau menggunakan tandas tanpa kebenaran.

Selain itu penyanyi itu dikatakan mengawal apa yang dipakai oleh mangsa dan memaksa mereka memanggilnya sebagai 'ayah'.

Gloria Allred, peguam yang mewakili beberapa mangsa memberitahu wartawan bahawa, ia adalah kes paling serius membabitkan pemangsa seksual yang dikendalikannya sepanjang 47 tahun berkhidmat sebagai peguam.

R Kelly. FOTO fail EPA
R Kelly. FOTO fail EPA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 9:22 AM