ROBERT Hadden yang didakwa melakukan penderaan seksual ke atas ramai pesakit. FOTO AP
ROBERT Hadden yang didakwa melakukan penderaan seksual ke atas ramai pesakit. FOTO AP
AP

New York: Dua hospital New York bersetuju membayar lebih AS$165 juta (kira-kira RM767 juta) kepada 147 bekas pesakit yang menuduh seorang bekas pakar sakit puan melakukan penderaan seksual dan salah laku.

Pusat Perubatan Columbia University Irving dan NewYork-Presbyterian mengumumkan perkara itu pada Jumaat di mana tahun lalu, kedua-dua hospital itu mencapai penyelesaian menerusi dana pampasan AS$71 juta (kira-kira RM330 juta) dengan 79 bekas pesakit.

Doktor itu, Robert Hadden, menyerahkan lesen perubatannya selepas disabitkan pada 2016 atas tuduhan berkaitan seks di mahkamah negeri tetapi tidak dijatuhkan hukuman penjara.

Dia kini menunggu perbicaraan atas tuduhan persekutuan yang berasingan kerana melakukan penderaan seksual berpuluh-puluh pesakit wanita muda dan tidak curiga selama lebih dua dekad.

Bekas pakar itu mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan mendorong orang lain melakukan perbuatan seks haram.

Pendakwa raya menyifatkan Hadden sebagai "pemangsa berkot putih," menuduhnya memilih mangsa yang muda termasuk seorang gadis muda yang disambutnya ketika dilahirkan.

Antara mangsa Hadden ialah Evelyn Yang, isteri bekas calon presiden dan calon datuk bandar New York City Andrew Yang, yang mendedahkan kepada umum dua tahun lalu bahawa pakar berkenaan menderanya ketika dia menjadi pesakitnya pada 2012.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Pusat Perubatan Irving Universiti Columbia berkata, mereka amat kesal dengan kesakitan yang dialami oleh pesakit Hadden dan berharap resolusi ini akan memberikan sedikit sokongan kepada wanita yang menjadi mangsa.

"Semua orang yang tampil ke hadapan harus dipuji," katanya.

Seorang lagi mangsa, Marissa Hoechstetter, berkata Akta Orang Dewasa New York yang ditandatangani oleh Gabenor Demokrat Kathy Hochul pada Mei akan menawarkan penyelesaian, membuka ruang untuk tuntutan penderaan seksual.

"Kami belum selesai lagi dengan perhitungan untuk tindakan Hadden dan institusi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 10:16 AM