AFP

Chicago: Bintang R&B popular, R Kelly (gambar) didakwa semalam atas 10 tuduhan penderaan seks ke atas empat mangsa, tiga daripadanya masih di bawah umur.

Hakim membenarkan penyanyi berusia 52 tahun itu ditahan tanpa dibenarkan ikat jamin, satu perkembangan besar dalam kes Kelly selepas berdekad didakwa terbabit dalam pelbagai salah laku seksual, antaranya pornografi kanak-kanak dan hubungan seks dengan pasangan di bawah umur.

Pendakwa negeri untuk Cook County termasuk Chicago, Kim Foxx dalam satu sidang akhbar berkata, semua kesalahan berkenaan berlaku antara tahun 1998 dan 2010.

Sebelum ini seorang kerani mahkamah mendedahkan, sembilan daripada kesemua 10 pertuduhan itu membabitkan remaja berusia 13 hingga 16 tahun.

Tuduhan jenayah itu membawa hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun setiap satu dan boleh dikenakan parol.

Foxx menambah, Kelly dijangka hadir di mahkamah hari ini selepas ditahan lebih awal.

Peguam Kelly, Steve Greenberg menerusi Twitter berkata, anak guamnya menyerah diri antara jam 11 malam hingga tengah malam (waktu tempatan) kelmarin.

Kerani mahkamah di Cook County berkata, pemuzik terkenal itu dijadualkan menghadiri perbicaraan pada 8 Mac di Chicago iaitu lokasi kediamannya sekarang.

Ini adalah kali kedua Kelly didakwa dengan kesalahan seksual di Chicago selepas perbicaraan dramatik membabitkan pita seks yang menyaksikan dia dibebaskan dari 21 tuduhan pornografi kanak-kanak pada tahun 2008.

“Hari ini menandakan berakhirnya penderaan selama 25 tahun oleh seorang pemangsa,” kata peguam berprofil tinggi, Michael Avenatti yang mewakili dua mangsa, dua ibu bapa dan dua pemberi maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 2:16 PM