HOTEL di Passau tempat tiga mayat ditemui. FOTO Agensi
HOTEL di Passau tempat tiga mayat ditemui. FOTO Agensi
Agensi

Munich: Polis di Jerman menyiasat lima kematian misteri termasuk tiga membabitkan penggunaan busar silang yang dipercayai mungkin pakatan bunuh dan membunuh diri antara kumpulan yang taasub kisah rakyat dan persenjataan Zaman Gelap.

Polis yang menyiasat tiga kematian awal berkata, mereka menemui wasiat dua mangsa dalam bilik hotel tanpa tanda pergelutan atau pembabitan orang lain. Kes pelik itu menghairankan Jerman, selepas tiga mayat ditemui pada Sabtu lalu di sebuah hotel di Passau, disusuli mayat dua wanita di Wittingen pada Isnin lalu.

Pendakwa Passau, Walter Feiler dilaporkan berkata: “Setakat ini yang jelas cuma hakikat bahawa ada lima mayat. Semua yang lain masih samar.”

FARINA (kiri) dan Torsten. FOTO Agensi
FARINA (kiri) dan Torsten. FOTO Agensi

Akhbar tempatan, Bild melaporkan mangsa taasub dengan amalan Zaman Gelap, terutama kesatria, berlawan tombak, persenjataan dan alkimia.

Menurut laporan bedah siasat, dua mangsa di Passau, seorang lelaki, Torsten W, 53, dan wanita, Kerstin E, 33, ditemui terbaring di atas satu katil dengan berpegangan tangan, lapor AFP.

Mereka dilaporkan dibunuh dengan tembakan busar silang di kepala dan jantung. Wasiat pasangan itu turut ditemui dalam bilik berkenaan, kata polis.

Mayat seorang lagi wanita, Farina C, 30, ditemui atas lantai dengan anak panah dari busar silang menusuk leher.

Menurut laporan, Weiss digambarkan sebagai orang yang mengawal dua wanita terbabit dengan mengasingkan mereka daripada keluarga.

Sementara itu, di apartmen Farina di Wittingen, pasangannya berusia 35 tahun ditemui mati bersama seorang wanita berusia 19 tahun pada Isnin lalu, lapor PNP. Bagaimanapun, Daily Mail melaporkan tiada busar silang atau panah ditemui di situ, selain tiada tanda pergelutan berlaku.

POLIS mengeluarkan mayat di sebuah apartmen di Wittingen. FOTO AFP
POLIS mengeluarkan mayat di sebuah apartmen di Wittingen. FOTO AFP

Pejabat pendakwa menyiasat kes itu sebagai ‘permintaan untuk dibunuh dan bunuh diri,’ seterusnya mencadangkan Farina menggunakan busar silang untuk menembak pasangan itu sebelum membunuh diri selepas mereka mendaftar masuk ke bilik itu pada lewat Jumaat lalu.

Malah Farina membayar 300 euro (RM1,400) untuk tiga malam sebelum mereka terus masuk ke bilik.

Media melaporkan, dua wanita terbabit memakai serba hitam dan semuanya tidak membawa beg, tetapi dilihat pergi ke kereta kemudian untuk mengambil beg berisi busar silang. Tiga busar silang itu ditemui dalam bilik berkenaan dengan satu masih disimpan kemas dalam beg.

Menurut Bild, Torsten memiliki kedai yang menjual senjata, pakaian serta minuman ala zaman gelap sejak lima bulan lalu. Malah kedai itu turut menyediakan ruang untuk mengajar dan berlatih lawan pedang.

Jerman mempunyai undang-undang terhadap senjata api, tetapi peralatan memanah mudah diperoleh untuk tujuan bersukan dan sesiapa yang berusia 18 tahun ke atas boleh membelinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 9:27 AM