SUFYAN bersama busar unik ciptaannya.
SUFYAN bersama busar unik ciptaannya.
Nazri Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my


MENGHASILKAN busar memanah secara tradisional menggunakan kayu pokok ciku menjadikan hasil ciptaan Sufyan Mohd Salleh, 61, antara pertama di dunia.

Lebih menarik hasil penciptaan itu mempunyai daya kreativiti unik termasuk bentuk ikan jerung, kapal, keris dan daun pada siah busar yang dihasilkannya sejak dua tahun lalu.

Malah pada bahagian pemegang pula terdapat bentuk telur dengan genggaman selesa atas kehendak atau kesesuaian pengguna.

Sufyan yang ditemui ketika penulis membuat liputan Aktiviti Junket Journalism Industri Kraf di Negeri Melaka anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini berkata, dia juga mencipta busar memanah untuk berkuda dengan seni kraf Melayu lama dikenali sebagai Taming Sari yang dihasilkan di rumahnya di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Melaka.

Katanya, dia menghasilkan sendiri semua proses awal sehingga siap untuk digunakan termasuk kerja memintal benang sebagai tali busar.

ANTARA busar yang dihasilkan.
ANTARA busar yang dihasilkan.

Sambil dibantu anak bongsu daripada tiga beradik, Muhammad Fadhil, 27, dia berjaya menghasilkan kira-kira 1,000 busar setakat ini untuk pasaran tempatan.

Lebih menarik busar yang dihasilkan turut dihantar ke Brunei dan Hungary yang ditempah pelanggan menerusi media sosial.

Kesenian Melayu yang ditonjolkan menyebabkan ia menjadi tarikan peminat dan pencinta sukan terbabit yang turut disimpan sebagai kenangan atau cenderamata.

"Kerjaa pembuatan mengambil masa antara satu jam sehingga 24 jam mengikut jenis dan kreativiti ciptaan.

"Selain itu saya menghasilkan set kelengkapan memanah termasuk sarung busar dan sarung anak panah daripada kulit lembu yang dijahit sendiri," katanya.

Memiliki pengalaman dalam bidang perkapalan, pembuatan kapal terbang dan industri minyak antarabangsa lebih 40 tahun di Singapura menyebabkan dia tidak berdepan masalah untuk terbabit dalam pembuatan busar.

SUFYAN (kanan) menunjukkan cara memintal benang untuk penghasilan busar.
SUFYAN (kanan) menunjukkan cara memintal benang untuk penghasilan busar.

Beliau tidak pernah belajar daripada mana-mana guru, tetapi atas minat dan kesungguhan menyebabkan Sufyan kini aktif dalam penghasilan busar tradisional unik itu.

Sufyana juga gembira sokongan Kraftangan Negeri Melaka dan Kraftangan Malaysia sehingga berjaya mempromosi jualan sekali gus memberi impak kepada usahanya mengetengah ciri-ciri tradisional Melayu dan era Hang Tuah.

Malah dia turut menghasilkan inovasi terbaharu dengan ciptaan busar untuk kanak-kanak berusia empat tahun ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 7:00 AM