WEINSTEIN (kiri) akan di bicarakan di Manhattan susulan dua jenayah seksual. -Foto Reuters
WEINSTEIN (kiri) akan di bicarakan di Manhattan susulan dua jenayah seksual. -Foto Reuters
Reuters

NEW YORK: Penerbit filem, Harvey Weinstein yang dituduh melakukan serangan seksual ke atas ramai personaliti wanita terkenal Hollywood akan dibicarakan di Manhattan di sini, 6 Mei depan susulan jenayah sama ke atas dua wanita, kata peguamnya.

Weinstein dituduh melakukan seks oral secara paksa ke atas seorang wanita pada Julai 2006 dan memperkosa seorang wanita lain pada Mac 2013. Dia berdepan lima pertuduhan termasuk rogol dan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Lebih 70 mangsa, kebanyakannya aktres muda dalam industri perfileman menuduh Weinstein, 66, menyerang mereka secara seksual sejak berpuluh tahun lalu.

Skandal itu membawa kepada kewujudan gerakan #MeToo membabitkan ratusan wanita yang secara terbuka mendakwa diserang secara seksual oleh ramai lelaki berpengaruh dalam arena perfileman, politik dan pelbagai sektor lain.

Weinstein yang mengaku tidak bersalah selepas ditahan Mei tahun lalu menafikan semua pertuduhan dan mendakwa semua perlakuan seks itu adalah atas kerelaan mangsa.

Pendakwaan oleh pejabat peguam daerah Manhanttan itu adalah satu-satunya kes jenayah yang timbul daripada semua pertuduhan ke atasnya setakat ini.

Peguam Weinstein, Benjamin Bratman mengumumkan tarikh perbicaraan kelmarin dalam satu kes berkaitan di peringkat persekutuan yang dibawa seorang mangsa tidak dikenali.

Bratman dipercayai cuba mendapatkan penangguhan kes anak guamnya sehingga kes jenayah itu selesai sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 9:16 AM