WEINSTEIN mula dibicara. FOTO AFP
WEINSTEIN mula dibicara. FOTO AFP
AFP

New York: Perbicaraan kes kesalahan seks Harvey Weinstein bermula Isnin, selepas dua tahun dakwaan terhadapnya menyaksikan gerakan #MeToo dan menjatuhkan beberapa lelaki paling berkuasa.

Produser berkenaan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah oleh mahkamah negeri New York atas pertuduhan serangan seksual.

Perbicaraan dijangka berlangsung enam minggu.

Seramai 90 wanita, termasuk Angelina Jolie dan Gwyneth Paltrow, menuduh lelaki berusia 67 tahun itu terbabit dalam kesalahan seksual, sejak ia dilaporkan secara terperinci oleh The New York Times, pada Oktober 2017.

Bagaimanapun, Weinstein hanya didakwa di mahkamah berhubung pertuduhan membabitkan dua mangsa.

Jika bersalah, ia dianggap satu kejayaan terhadap gerakan #MeToo.

Sebelum ini, bekas pembantu produksi Mimi Haleyi mendakwa Weinstein yang juga produser filem “Pulp Fiction” itu mencabulnya di sebuah apartmen di New York, pada 2006.

Mangsa kedua yang enggan dikenali pula mendakwa lelaki yang juga pengasas bersama Miramax Film itu merogolnya di sebuah hotel di New York, pada Mac 2013.

Sementara itu, aktres siri “The Sopranos”, Annabella Sciorra akan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan bagi meyakinkan juri bahawa Weinstein adalah ‘pemangsa’ dalam kes berkenaan.

Sementara itu, tujuh wanita yang mendakwa sebagai mangsa Weinstein termasuk pelakon,

Rose McGowan dan Rosanna Arquette, dijangka mengadakan sidang media di luar mahkamah.

Gerakan #MeToo turut menyaksikan penyanyi R&B didakwa di mahkamah tahun lalu, atas kesalahan menyerang wanita muda.

Sementara itu, pelawak terkenal Bill Cosby dihukum penjara tiga tahun pada September 2018 atas kesalahan seksual.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu turut menarik media apabila lebih 150 wartawan sudah memohon untuk membuat liputan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 10:56 AM