Hsien Yang (kanan) memberi sejumlah wang kepada Sze Hian (kiri) yang menghadapi saman fitnah Perdana Menteri, Hsien Loong. FOTO Facebook
Hsien Yang (kanan) memberi sejumlah wang kepada Sze Hian (kiri) yang menghadapi saman fitnah Perdana Menteri, Hsien Loong. FOTO Facebook
Agensi

SINGAPURA: Adik Perdana Menteri Singapura mengaku memberi derma kepada seorang blogger yang menghadapi saman fitnah oleh pemimpin negara itu, Lee Hsien Loong.

Ketika dihubungi portal berita Singapura, Lee Hsien Yang, berkata dia memberi 'derma yang wajar' kepada blogger itu, Leong Sze Hian.

Ketika diminta oleh portal TodayOnline supaya menjelaskan lebih lanjut, Hsien Yang berkata: "Derma itu tidak sebanyak S$1 (RM3.04).

Ditanya mengapa beliau memberi bantuan itu untuk dana guaman Leong, Lee berkata:"Sudah tentu perkara itu tidak perlukan penjelasan."

Anak lelaki Lee, Li Shengwu turut menghadapi tindakan perundangan oleh Peguam Negara atas tuduhan menghina mahkamah kerana membuat 'posting' di Facebook pada 15 Julai tahun lalu.

Mengenai 'posting' itu, Li mendakwa ia hanya dikongsi dengan rakan-rakannya dan menyifatkan kerajaan Singapura suka menggunakan undang-undang dan mempunyai sistem mahkamah yang menurut perintah (pihak berkuasa).

Ulasan dalam 'posting' itu diiringi artikel dalam Wall Street Journal bahawa dia berkongsi isu pergaduhan antara bapanya dan emak saudaranya, Lee Wei Ling dengan Perdana Menteri mengenai kediaman keluarga itu di Oxley Road milik bekas Perdana Menteri yang juga datuk Li, Lee Kuan Yew.

Leong melancarkan kempen mengumpul derma online awal minggu ini untuk membayar yuran guamannya.

Dia memberitahu laman web sosio politik, The Online Citizen bahawa dia berharap mendapat derma daripada 10,000 orang yang masing-masing memberi S$1 seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 3:41 PM