NETANYAHU menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung di PBB di New York. - AFP
NETANYAHU menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung di PBB di New York. - AFP
Agensi

TEHERAN/NEW YORK: Iran menafikan tuduhan Israel bahawa ia mempunyai gudang sulit menyimpan bahan atom seperti didakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, melalui Twitter berkata: “Tiada lukisan atau hasil seni yang dapat menunjukkan dengan jelas bahawa Israel satu-satunya regim di rantau kita ada ‘rahsia’ dan program senjata nuklear yang tidak pernah diisytiharkan.

Menurutnya, sudah tiba masa untuk Israel membuka program haram senjata nuklearnya kepada pemeriksa antarabangsa.

“Bagaimana Israel, satu-satunya negara memiliki senjata nuklear di Asia Barat tanpa malu menuduh negara yang program nuklearnya sudah disahkan IAEA sebagai program aman?” kata Zarif yang dilaporkan agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Netanyahu sambil memegang peta dan gambar ketika ucapannya berkata, peta serta gambar itu adalah kemudahan samaran Iran yang didakwanya gudang simpanan bahan senjata nuklear.

“Hari ini, saya buat kali pertama mendedahkan Iran mempunyai satu lagi kemudahan di Teheran, gudang sulit bahan atom bagi menyimpan sejumlah besar peralatan serta bahan program senjata nuklear Iran.

“Iran tidak pernah membiarkan begitu saja matlamatnya untuk membangunkan senjata nuklear.

“Israel tidak akan membenarkan rejim yang mahu memusnahkan kami untuk membangunkan senjata nuklear.

“Israel akan melakukan apa saja yang diperlukan untuk mempertahankan negaranya daripada pencerobohan Iran.

“Apa saja yang Iran cuba sembunyikan, Israel pasti menjumpainya,” katanya. -

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 4:15 AM