STESEN televisyen kerajaan Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) memaparkan gambar bandar Isfahan pada awal pagi 19 April berikutan laporan letupan yang kedengaran di wilayah di tengah Iran. FOTO IRIB/AFP
STESEN televisyen kerajaan Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) memaparkan gambar bandar Isfahan pada awal pagi 19 April berikutan laporan letupan yang kedengaran di wilayah di tengah Iran. FOTO IRIB/AFP
AFP

Tehran: Media kerajaan Iran melaporkan letupan di wilayah tengah Isfahan pada Jumaat, ketika media Amerika Syarikat (AS) memetik pegawai berkata Israel sudah melakukan serangan balas terhadap musuh ketatnya.

Sistem pertahanan udara di beberapa bandar Iran diaktifkan, lapor media kerajaan, selepas penyiar rasmi negara itu berkata, letupan kedengaran berhampiran bandar Isfahan.

Israel sebelum ini memberi amaran akan melakukan serangan balas selepas Iran melepaskan ratusan peluru berpandu dan dron ke arah Israel pada hujung minggu.

Bagaimanapun, kebanyakannya sudah dipintas.

Agensi berita Iran Fars melaporkan 'tiga letupan' kedengaran berhampiran Qahjavarestan, berhampiran lapangan terbang Isfahan dan pangkalan udara tentera Shekari.

Sementara jurucakap agensi angkasa lepas Iran, Hossein Dalirian berkata 'beberapa' dron berjaya ditembak jatuh.

Dalirian berkata di platform media sosial X 'tiada laporan mengenai serangan peluru berpandu'.

"Laporan menunjukkan tiada kerosakan besar atau letupan besar yang disebabkan oleh kesan ancaman udara," kata agensi berita rasmi IRNA.

Pegawai kanan tentera di Isfahan, Brigedier Jeneral Siavash Mihandoost, memberitahu stesen televisyen negara itu bahawa bunyi kuat yang didengari orang ramai berpunca daripada sistem pertahanan menembak sasaran di udara, bukan letupan di atas tanah.

Kemudahan nuklear di Isfahan dilaporkan 'sepenuhnya selamat', kata agensi berita Tasnim Iran.

ABC dan CBS News melaporkan serangan itu dilakukan oleh Israel, memetik pegawai AS, bagaimanapun tiada komen segera daripada Rumah Putih atau Pentagon.

CNN memetik seorang pegawai sebagai berkata sasaran serangan Israel bukan nuklear.

Tentera Israel memberitahu AFP: "Kami tidak mempunyai komen buat masa ini".

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 3:27 PM