AFP

RIYADH: Syarikat penerbangan beribu pejabat di ibu kota Arab Saudi, Flynas, mengumumkan rancangan merekrut wanita negara itu sebagai pembantu juruterbang dan pembantu penerbangan buat kali pertama, beberapa bulan selepas Arab Saudi menarik balik larangan wanita memandu.

Jun lalu, Arab Saudi menamatkan larangan memandu bagi wanita apabila Putera Mahkota Mohammed bin Salman mahu memperbaiki pembabitan wanita dalam tenaga kerja.

Wanita, secara undang-undang tidak dilarang bekerja di sektor penerbangan tetapi kerjaya sebagai pembantu penerbangan dengan syarikat Arab Saudi dikuasai wanita asing dari negara seperti Filipina.

Hampir 1,000 wanita Arab Saudi memohon jawatan pembantu juruterbang dengan Flynas dalam masa 24 jam, kata jurucakap syarikat itu.

“Flynas mahu memperkasakan wanita Arab Saudi untuk memainkan peranan penting dalam perubahan di negara ini.

“Wanita adalah bahagian penting dalam kejayaan syarikat ini,” kata firma penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataan.

Usaha merekrut itu dibuat beberapa hari selepas Flyadeal, satu lagi syarikat penerbangan tambang murah itu, mula menyiarkan kerja bagi wanita Arab Saudi bertugas sebagai pembantu penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:11 AM