Lapangan Terbang Raja Abdulaziz. FOTO AFP
Lapangan Terbang Raja Abdulaziz. FOTO AFP
Agensi

Riyadh: Semua pelawat yang tiba Arab Saudi tanpa mengambil suntikan vaksin dikehendaki menjalani kuarantin wajib minimum tujuh hari berkuat kuasa 20 Mei depan.

Arab News melaporkan, pengumuman itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz Saud, pada Isnin.

Berikutan itu, pelawat yang belum menerima suntikan perlu menunjukkan dokumen insurans kesihatan yang sah dan dipersetujui oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk melindungi risiko Covid-19.

Pelawat dari negara dalam senarai larangan pula masih tidak diizinkan untuk datang.

Beberapa kumpulan akan dikecualikan daripada menjalani kuarantin semasa tiba di negara ini dengan syarat mereka menerapkan langkah berjaga-jaga yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan.

Mereka terdiri daripada warganegara dengan pasangan dan anak-anak mereka bersama dengan pembantu rumah, pembantu rumah tidak divaksin yang menemani pemastautin yang sudah divaksin, pelawat imun dan delegasi rasmi.

Individu lain yang terkecuali adalah mereka yang membawa visa diplomatik, diplomat dan keluarga mereka yang tinggal bersama kru syarikat penerbangan, kru laut pemandu trak dan pembantunya serta individu terbabit dalam rantaian bekalan kesihatan.

Pihak Berkuasa Kesihatan Awam (Weqaya) memaklumkan arahan kuarantin akan dikenakan kepada mereka yang menerima dos vaksin diluluskan pihak berkuasa negara itu, kurang dari 14 hari sebelum mereka tiba di Arab Saudi.

Mereka yang menjalani kuarantin kuarantin dikehendaki menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) pada hari pertama dan ketujuh selepas waktu ketibaan.

Pelawat yang sudah divaksin diminta menyerahkan sijil ujian PCR dalam tempoh 72 jam selepas tiba.

Kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah dikecualikan.

Kos kuarantin akan dikenakan kepada pelawat dan termasuk dalam harga tiket udara.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) memaklumkan syarikat penerbangan wajib bekerjasama dengan hotel yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan untuk menampung pelawat yang dikuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 2:42 PM