ZUKRI (tengah) bersama wakil jabatan dan sahabat korporat Tabung Haji pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat Musim Haji 1439/2018M. Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Musim 1439/2018M, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman (tengah, kiri). FOTO Bernama
ZUKRI (tengah) bersama wakil jabatan dan sahabat korporat Tabung Haji pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat Musim Haji 1439/2018M. Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Musim 1439/2018M, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman (tengah, kiri). FOTO Bernama
Siti Salmiah A Hamid


KIRA-KIRA 19 agensi termasuk pengamal media dan lebih 20 Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) diraikan sempena sumbangan dan kerjasama mereka sepanjang musim haji tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Datuk Sri Zukri Samat berkata, tahun ini, TH menerima sumbangan bernilai RM6.7 juta daripada 24 syarikat korporat dan swasta melalui Program Sahabat Korporat TH.

Katanya, sumbangan itu bukan sahaja memberikan pulangan (ROI) berbentuk pendedahan jenama kepada syarikat terbabit, tetapi yang lebih utama adalah pulangan di akhirat kelak.

"Ada antara agensi terbabit yang kekurangan kakitangan, namun tetap memberi kerjasama dengan menempatkan petugas di lokasi.

"Walaupun jadual penerbangan padat dan kebanyakkannya pada waktu tengah malam atau awal pagi tetapi petugas sanggup berkorban masa dan tenaga di lapan stesen berlepas, bagi memastikan urusan jemaah haji berjalan lancar," katanya pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH Musim Haji 1439H/2018M di Menara TH, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Musim 1439H, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Kedua Kedutaan Arab Saudi, Muhannad Sultan Alyousuf.

Agensi yang terbabit pada musim haji lalu antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Malaysia Airlines, Flynas, Polis DiRaja Malaysia, RTM, Bernama, Mediaprima, IKIM dan Al Hijrah.

Operasi Haji Tanah Air yang berakhir pada penghujung September lalu adalah yang pertama dilaksanakan di Kompleks Haji Sepang yang baharu.

Katanya, TH akan melakukan sesi 'post-mortem' bagi mengenalpasti dan menambahbaik mutu perkhidmatan dan kemudahan bagi memastikan kelancaran operasi haji akan datang.

"Program Kebersihan Perdana Masya’ir yang julung kali diperkenalkan menerusi aktiviti gotong-royong menerima kerjasama baik daripada jemaah haji dan petugas sewaktu di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

"Program ini turut menerima pujian daripada pihak Kerajaan Arab Saudi dan liputan media massa negara berkenaan," katanya yang turut berterima kasih kepada wakil Kerajaan Arab Saudi.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein yang turut menerima penghargaan itu berkata, ia adalah pengalaman berharga apabila diberi peluang untuk membuat liputan dari kota Mekah dan Madinah.

Katanya, petugas media akan terus memberikan kerjasama yang baik dan erat bagi memastikan kelancaran operasi haji yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:02 PM