PENDUDUK Yaman ketika melalui kawasan Jizan. FOTO/AFP
PENDUDUK Yaman ketika melalui kawasan Jizan. FOTO/AFP
Reuters

KAHERAH: Arab Saudi berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu yang dibedil pemberontak Houthi ke arah Jizan semalam.

“Peluru berpandu balistik Badr dibedil ke arah Bandar Raya Perindustrian Jizan,” menurut laporan al-Masirah TV milik Houthi.

Agensi berita Arab Saudi memetik jurucakap pasukan pakatan diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Houthi di Yaman sebagai berkata, peluru berpandu itu menuju ke kawasan penempatan dan dipintas di ruang udara Jizan.

“Tiada kematian atau kerosakan direkodkan apabila peluru berpandu itu dipintas,” kata Kolonel Turki al-Maliki.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran kerap mengumumkan bedilan peluru berpandu merentasi sempadan Arab Saudi dan Yaman ke arah Jizan dalam usaha menyerang kemudahan penting, termasuk loji penapis minyak dikendalikan syarikat Saudi Aramco.

Houthi berkata, serangan peluru berpandu itu sebagai membalas dendam serangan udara ke atas Yaman oleh pasukan pakatan berkenaan yang campur tangan dalam perang di negara itu pada 2015 dalam usaha mengembalikan kerajaan pimpinan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 9:50 AM