Riyadh: Seorang pegawai keselamatan Arab Saudi semalam berkata, seorang tentera negara itu terbunuh dan seorang lagi cedera dalam pertempuran dengan pemberontak Houthi di sempadan negara itu dengan Yaman.

Pegawai yang enggan dikenali itu bagaimanapun tidak memberi butir lanjut mengenai tempat atau bila pertempuran berlaku.

Kematian terbaru itu menjadikan jumlah tentera Saudi yang terbunuh di kawasan sempadan kepada lapan sejak negara itu mengetuai serangan udara ke atas pemberontak berkenaan di Yaman.

Sementara itu, Arab Saudi kelmarin mengerahkan tentera Pengawal Kebangsaan ke sempadan kedua-dua negara terbabit, khususnya di wilayah Najran dan Jizan.

Kawasan itu sebelum ini dijaga pengawal sempadan.

Menurut sumber, serangan diketuai Saudi di Yaman meragut 550 nyawa orang awam. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 10:00 AM